Pembunuh si kecil

SABAN tahun, serangan radang paru-paru atau pneumonia membunuh kira-kira 1.4 juta penduduk dunia terutama kalangan kanak-kanak yang turut menjadi penghidap utama penyakit itu.

Angka berkenaan menunjukkan kehilangan nyawa akibat pneumonia adalah melebihi kematian yang disebabkan penyakit berbahaya lain seperti AIDS, malaria dan tuberkulosis atau tibi.

"Ada kes seorang penghidap kanak-kanak yang baru saja hampir sembuh selepas menerima rawatan, kembali kritikal dan meninggal dunia apabila ibu bapanya mengambil tindakan sambil lewa dengan menghantarnya ke tadika, walaupun dia sepatutnya diberi rehat mencukupi. - Dr Yong Junina Fadzil, Pakar Pediatrik

Di Malaysia, statistik Kementerian Kesihatan membuktikan, pneumonia berada pada kedudukan kelima penyakit pembunuh tertinggi kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

Pneumonia adalah penyakit yang disebabkan jangkitan virus, kuman atau bakteria ke bahagian paru-paru seseorang dan biasanya, ia banyak dihidapi golongan kanak-kanak dan tua.

Awalnya, selepas dijangkiti virus, kuman atau bakteria, seseorang akan mengalami simptom-simptom pneumonia seperti batuk serta selsema sebelum ia merebak ke dalam sistem pernafasan dan menyerang paru-paru.

Pakar Perubatan Kanak-Kanak, Dr Yong Junina Fadzil, berkata penyakit itu perlu dikesan dan dirawat secepat mungkin bagi mengelaknya menjadi serius sehingga boleh meragut nyawa.

Bagaimanapun, katanya, di negara ini, kesedaran masyarakat terutama golongan ibu bapa berhubung penyakit berkenaan adalah masih terlalu rendah ekoran tiada kefahaman meluas seperti dalam konteks memahami simptom, kepentingan rawatan dan langkah pencegahan.

“Kekurangan pengetahuan ini menyebabkan mereka tidak menyedari bahaya penyakit berkenaan atau kepentingan mendapatkan rawatan awal, sekali gus meningkatkan jumlah kematian tahunan akibat masalah kesihatan itu.

“Pneumonia mempunyai banyak simptom antaranya demam panas, batuk berkahak atau tanpa kahak, sakit dada, tiada selera makan, rasa tidak sihat, sering merengek (bayi dan kanak-kanak), pernafasan laju, susah bernafas, muntah dan cirit-birit.

“Jika anda atau ahli keluarga anda mengalami satu atau lebih daripada simptom ini, ia mungkin pneumonia. Usah bertangguh, sebaliknya segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan pandangan dan rawatan terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan ‘Meningkatkan Kesedaran Masyarakat Di Negara Ini Berhubung Pneumonia,’ bersempena Hari Pneumonia, baru-baru ini. Usaha itu diperkenalkan Gabungan Global menentang Pneumonia Kanak-Kanak yang dianggotai 125 badan bukan kerajaan, pertubuhan amal, institusi akademik, agensi kerajaan dan beberapa yayasan bagi menggalakkan tindakan masyarakat dunia di dalam usaha menentang, merawat serta mengelakkan jangkitan penyakit berkenaan.

Dr Yong Junina berkata, pengalamannya mengendalikan kes Pneumonia dalam kalangan kanak-kanak menunjukkan sikap ibu bapa yang menganggap simptom dialami anak mereka itu tidak berbahaya, menjadi punca pesakit tidak dapat dirawat awal sehingga menemui kematian.

“Kebanyakan ibu bapa yang membawa anak mereka ke klinik saya tidak tahu dan tidak menunjukkan kebimbangan apabila saya memberitahu anak mereka diserang pneumonia. Malah mereka menganggap ia masalah kesihatan ringan.

“Ada kes yang mana seorang penghidap kanak-kanak yang baru saja hampir sembuh selepas menerima rawatan, kembali kritikal dan meninggal dunia apabila ibu bapanya mengambil tindakan sambil lewa dengan tetap menghantarnya ke tadika, walaupun dia sepatutnya diberi rehat mencukupi terlebih dulu.

“Perlu diingatkan yang penyakit ini disebabkan banyak faktor seperti persekitaran kotor, lokasi terlalu sesak, tempat berhabuk, cuaca buruk, ketahanan sistem imunisasi tubuh rendah atau penyakit dibawa individu sekeliling, jadi pesakit perlu 'dikuarantin' dari semua keadaan ini sehingga benar-benar sembuh,” katanya.

Jelas Dr Yong Junina, dari kaedah rawatan, ada beberapa cara berkesan yang akan digunakan pegawai perubatan dalam mengatasi penyakit dihidapi.

“Bagi pneumonia yang disebabkan virus, doktor hanya akan memberikan ubat pil dan penghidap harus rehat dan minum air secukupnya kerana sistem imunisasi badan akan memainkan peranan dalam merawatnya.

“Jika penyakit dialami tidak serius dan disebabkan bakteria, doktor akan membekalkan antibiotik dan ubat tetapi sekiranya jangkitannya serius, penghidap akan diberikan ubat melalui suntikan,” katanya.

Namun, bagi kes lebih serius, penghidap akan dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan bantuan rawatan lanjut seperti bekalan oksigen dan antibiotik.

Baginya, seperti kata pepatah ‘mencegah lebih baik daripada mengubati,’ usaha untuk mengelakkan jangkitan penyakit ini adalah paling penting berbanding merawatnya.

Bagi tujuan itu, masyarakat perlu menjalani gaya hidup sihat, mengutamakan kebersihan diri, mengamalkan penyusuan susu ibu kepada bayi, tidak berada di kawasan sesak, menutup hidung ketika cuaca buruk apabila keluar rumah dan sentiasa mementingkan kesihatan sekeluarga.

“Sekiranya anda, ahli keluarga atau anak anda mengalami simptom pneumonia, segera dapatkan nasihat atau rawatan doktor bagi memastikan tahap kesihatan anda tidak menjadi semakin buruk,” katanya.

“Lebih penting, pada waktu yang diperlukan atau dinasihatkan doktor seperti jika anda ingin melancong atau pulang dari sesebuah lokasi luar negara, dapatkan vaksin seperti Pertussis (Tibi), Vaksin Measles (Demam Campak), Vaksin Influenza atau Vaksin Pneumococcal.

“Vaksin ini berupaya meningkatkan sistem imunisasi tubuh anda bagi mencegah sebarang jangkitan penyakit,” katanya.

INFO Pneumonia
Golongan berisiko:
Kanak-Kanak terutama pada usia lima tahun dan ke bawah
Dewasa terutama pada usia 65 tahun dan ke atas
Mempunyai tahap sistem ketahanan badan rendah seperti pembawa HIV/Aids
Penghidap masalah kesihatan yang kronik
Individu di kawasan sesak atau kotor
Masyarakat atau penduduk di kawasan tidak membangun atau miskin

Simptom
Demam panas
Batuk berkahak atau tanpa kahak
Sakit dada
Tiada selera makan
Rasa tidak sihat
Sering merengek (bayi dan kanak-kanak)
Pernafasan laju atau tercungap-cungap
Sukar bernafas
Muntah
Cirit-birit

Antara langkah pencegahan
Menjalani gaya hidup sihat
Mengutamakan kebersihan diri
Mengamalkan penyusuan susu ibu
Elak di kawasan sesak
Menutup hidung ketika cuaca buruk.

Baca lain-lain artikel - KLIK DISINI

 

Share:

Testimoni Pengguna

Semua testimoni dihalaman web ini adalah berdasarkan pengalaman sebenar pengguna yang dihantar oleh pengguna sendiri melalui email kepada pihak BioVCO.com dan ianya belum diuji secara klinikal. Kesan yang diperolehi mungkin berbeza antara seseorang individu dengan individu yang lain selepas pengambilan produk. - **** Harap maklum - BioVCO.com ****

Share:

Bakteria baik untuk ibu hamil

SEBAGAI seorang wanita, impian bergelar ibu adalah naluri semula jadi yang tidak dapat dinafikan.

Disebabkan itulah, sebaik sahaja disahkan mengandung, bakal-bakal ibu pastinya mengambil berat akan pemakanan mereka sepanjang sembilan bulan agar kesihatan diri serta anak yang dikandung sihat.

Untuk itu, bagi menjamin kesihatan bakal-bakal ibu, mereka digalakkan mengambil produk pemakanan berkhasiat yang baik khusus untuk keperluan pemakanan wanita mengandung.

Di samping pemakanan berkhasiat yang lazim dinasihatkan oleh para doktor, kini ibu-ibu mengandung turut disarankan agar mengambil makanan yang mengandungi probiotik untuk menjamin kesihatan anak yang dikandung.

Dalam masa yang sama, pemakanan yang berkhasiat amat digalakkan agar ia dapat menampung kesihatan bayi sebaik dilahirkan sehingga menjangkau 1,500 hari.

Dipercayai sepanjang tempoh ini merupakan masa kritikal untuk pembentukan serta tumbesaran anak-anak dan ia perlu diberi perhatian serta tumpuan oleh ibu bapa.

Oleh yang demikian, menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Natasha Ain Mohd. Nor, ibu-ibu mengandung digalakkan mengambil pemakanan yang mengandungi probiotik seperti tempe, yogurt, minuman berkultur, miso dan sesetengah minuman jus atau soya.

Ini kerana ulas Dr. Natasha, golongan itu sering menghadapi pelbagai masalah kesihatan seperti sembelit, pedih hulu hati, keputihan, kencing tidak lawas dan sebagainya.

Dengan adanya ‘bantuan’ daripada pengambilan makanan-makanan yang mengandungi probiotik, ia dapat membantu mengurangkan masalah tersebut dengan penambahan bakteria baik di dalam usus.

Ia juga dapat mengekal dan meningkatkan kesihatan ibu-ibu mengandung dan anak yang dikandung kerana lazimnya daya tahan wanita semasa mengandung akan menurun.

“Ibu-ibu yang mengandung digalakkan mengambil makanan yang kaya dengan probiotik melalui diet harian dan memakan suplemen dalam bentuk kapsul, pil atau susu ibu mengandung yang terdapat probiotik.

“Pengambilan probiotik bukan sahaja memanfaatkan kepada ibu malah ia turut memberi kebaikan kepada anak yang dikandung.

“Secara tidak langsung, kebaikan probiotik yang diambil semasa mengandung akan berterusan sehingga anak yang dilahirkan mencecah 1,500 hari," ujarnya ketika ditemui di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras, baru-baru ini.

Probiotik ialah bakteria baik yang terdapat pada dinding usus untuk menjadikan badan kuat dan sihat.

Ia menggalakkan kesihatan yang baik, menghasilkan keseimbangan dalam ekosistem usus dan membantu sistem penghadaman berfungsi dengan baik.

Malah sistem ketahanan badan yang baik diperlukan bagi menjaga kesihatan.

Di sinilah probiotik atau ‘bakteria baik’ dalam usus dilihat memainkan peranan penting bagi memperkuatkan lagi sistem imun.

Kekurangan probiotik juga menyebabkan sistem ketahanan badan tidak berkembang dengan baik. Ini boleh membawa kepada gangguan sistem ketahanan, gejala alahan dan obesiti.

Menurut Dr. Natasha banyak kajian klinikal telah dilakukan mengenai makanan tambahan probiotik. Salah satunya oleh seorang profesor dalam bidang perubatan kanak-kanak dari Universiti Turku, Finland, Dr. Erika Isolauri.

Kajian yang dilakukan oleh Dr. Isolauri baru-baru ini telah menemui fungsi terbaru probiotik di mana ia mungkin memainkan peranan penting untuk mengawal paras gula dan juga berat badan bagi ibu-ibu mengandung.

Ini bermakna probiotik mampu mengawal kencing manis dan berat badan wanita ketika hamil dan selepas bersalin.

Bagaimanapun ujar Dr. Natasha, ia masih lagi dalam kajian awal dan kajian seterusnya perlu dilakukan.

Kata beliau, pengambilan probiotik juga adalah untuk maksimumkan kebaikan bayi selain dapat meredakan bayi yang sedang mengalami masalah cirit birit.

Berbicara mengenai jumlah pengambilan probiotik, ulas Dr. Natasha, setiap individu adalah berbeza dan seelok-eloknya mengikut nasihat yang disarankan doktor.

Apabila ditanya mengenai kesan sampingan pula, ulas Dr. Natasha, kajian-kajian saintifik tidak menunjukkan sebarang kesan buruk yang tidak diingini di kalangan wanita mengandung dan bayi.

Dr. Natasha juga percaya orang ramai perlu dididik mengenai manfaat probiotik kerana ia bukan sahaja memberi kebaikan kepada ibu-ibu mengandung serta bayi tetapi juga kepada orang ramai.

Baca lain-lain artikel - KLIK DISINI

Share:

Tip kesihatan jantung mudah alih

SERANGAN jantung adalah punca utama kematian dalam kehidupan moden. Banyak faktor yang menyumbang kepada penyakit berkenaan terutama melibatkan gaya hidup.

Justeru sebagai salah satu cara memberikan kesedaran mengenai penyakit jantung, peneraju penyedia telekomunikasi bersepadu negara Maxis Berhad (Maxis) bekerjasama dengan pusat perubatan kardiovaskular dan torasik Institut Jantung Negara (IJN) menawarkan perkhidmatan kandungan penjagaan kesihatan melalui teknologi mudah alih.

Melaluinya Maxis menawarkan kandungan kesihatan jantung kepada semua pelanggan yang boleh diakses daripada telefon mudah alih yang mempunyai ciri-ciri khidmat pesanan ringkas (SMS), peranti pintar atau laman web.

Pelanggan Maxis yang berminat untuk menerima tip kesihatan jantung melalui SMS boleh melanggan perkhidmatan tersebut dan menerima tiga SMS seminggu.

Kandungan SMS berkenaan disediakan serta disahkan oleh pakar-pakar di IJN.

Selain itu, pelanggan yang mempunyai telefon pintar boleh mengakses maklumat penting berkaitan kesihatan jantung secara percuma dengan memuat turun aplikasi telefon pintar baru myHealthy Heart.

Mereka yang mempunyai akses web pula boleh mengunjungi portal kesihatan health.mylaunchpad.com.my untuk mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan dengan kesihatan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Prof. Datuk Dr. Mohd. Azhari Yakub berharap perkhidmatan ini akan memberikan manfaat yang besar kepada rakyat Malaysia dalam meningkatkan kesejahteraan dan gaya hidup mereka.

"Perkongsian Maxis dan IJN sangat bermakna kerana kedua-dua pihak mempunyai kekuatan dan pengkhususan yang saling melengkapi," katanya pada pelancaran kerjasama itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

GembiraKetua Pegawai Operasi Bersama Maxis, Suren J. Amarasekera pula berkata, sebagai peneraju dalam bidang masing-masing, perkongsian kedua-duanya adalah satu padanan yang sesuai.

"Kami saling melengkapi dalam menyediakan pelbagai kandungan kesihatan yang disahkan oleh IJN untuk rakyat Malaysia serta mewujudkan kesedaran awam mengenai penyakit kardiovaskular melalui teknologi dan aplikasi mudah alih," katanya.

Beliau juga bangga bekerjasama dengan IJN kerana ia satu langkah positif untuk memastikan semua pengguna Maxis mempunyai akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Maxis akan menyumbang 10 peratus daripada hasil yang dijana daripada perkhidmatan SMS berkenaan kepada Yayasan IJN untuk program bantuan pesakit.

Tahun lalu saja, Yayasan IJN membelanjakan RM2 juta untuk membantu pesakit yang kurang bernasib baik.

Baca lain-lain artikel - KLIK DISINI

 

Share:

Senaman melampau ganggu kitaran haid

Haid normal adalah haid yang terjadi selama beberapa hari sehinggalah lebih kurang seminggu lamanya bagi setiap satu kitaran haid. Pusingan haid yang tidak teratur, iaitu yang dialami lebih daripada 35 hari.

Ada sesetengah wanita haidnya datang dua atau tiga bulan sekali dalam setahun. Keadaan ini disebabkan oleh gangguan hormon dan wanita yang mengalami masalah ini kurang subur kerana ia kurang mengeluarkan telur.

Terdapat pelbagai penyebab haid yang tidak teratur antaranya senaman yang melampau biasanya berlaku dalam kalangan ahli sukan atau atlet, kekurangan atau berlebihan berat badan (tidak mempunyai berat badan yang ideal), mengalami tekanan perasaan yang teruk dan gangguan pada emosi, pengambilan pelbagai jenis ubatan, kesan sampingan apabila berhenti mengambil pil perancang keluarga dan gangguan hormon lain seperti masalah pada kelenjar tiroid. Masalah kitaran haid tidak teratur yang agak kerap dialami oleh wanita, juga disebabkan oleh sindrom ovari polisistik (POOS). Tanda paling ketara yang dialami oleh wanita menghidap PCOS adalah kedatangan haid yang tidak teratur, biasanya lambat datang haid dan kadang-kadang jarak antara haid menjadi begitu jauh sekali sehingga tiga hingga enam bulan. Terdapat juga sebahagian wanita yang tidak mengalami haid dalam masa setahun lamanya.

Kitaran haidSelain kitaran haid yang begitu panjang jangka waktunya, wanita tersebut boleh mengalami perdarahan haid tidak seperti biasa tetapi mungkin berlaku dengan sedikit sekali, iaitu haidnya akan keluar dengan sederhana selama seminggu. Wanita yang menghidap PCOS, lazimnya akan mengalami haid yang sedikit, iaitu selama dua atau tiga hari sahaja atau mungkin perdarahan yang berpanjangan sampai 15 - 30 hari tanpa henti. Gejala ini dikenali sebagai polimenore, iaitu haid yang tidak tetap dan biasanya dialami tiga atau enam bulan sekali dan kadang-kadang berpanjangan.

Ketidakseimbangan hormon menyebabkan sel teka dalam ovari menebal. Keadaan ini mengakibatkan folikel matang tidak dapat dihasilkan. Kesan ini membantutkan pengovulan dan menyebabkan haid menjadi tidak teratur. Kadang-kadang keadaan ini juga menyebabkan dinding rahim menebal tidak seperti wanita normal disebabkan rangsangan hormon androgen yang berterusan pada penghidap PCOS.

Masalah yang anda alami iaitu kitaran haid yang tidak teratur dan juga keputihan. Ia simptom yang biasa dialami oleh wanita yang datang ke klinik. Simptom tersebut bukanlah pelik atau jarang-jarang dialami. Namun begitu, anda perlu berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Istilah 'keputihan' merupakan simptom yang lazim dialami oleh wanita. Penyebab utama adalah sejenis kulat (jamur) yang dikenali sebagai candida albicans. Keputihan yang disebabkan oleh candida albicans dikenali dengan vulvovaginal candidiasis. Ia permasalahan yang kerap berlaku dalam kalangan gadis dan juga wanita dewasa.

Perubahan keseimbangan flora normal dalam faraj dapat terjadi kerana beberapa sebab seperti pengambilan ubat perancang kehamilan, menstruasi, semasa hamil, kerap membasuh bahagian faraj dengan sabun atau pencuci faraj secara berlebihan. Ini dapat menyebabkan perubahan kondisi hormonal yang pada akhirnya akan mempengaruhi keasidan pH pada bahagian faraj. Adanya perubahan pH ini akan mempengaruhi keseimbangan flora normal yang ada di dalamnya dan menyebabkan flora yang tidak normal membiak secara berlebihan.

Rawatan untuk masalah keputihan dilakukan dengan menggunakan ubat antikulat (antijamur).

MenghindariTindakan tanpa ubat patut juga dipraktikkan dengan menghindari penggunaan sabun atau parfum pada bahagian faraj untuk mencegah iritasi, menjaga agar bahagian tersebut tetap bersih dan kering selain mengelak penggunaan pakaian dalam yang ketat dan tidak dapat menyerap peluh.

Sangat disarankan agar anda menjaga bahagian kemaluan supaya sentiasa bersih dan tidak lembap dengan menggunakan pakaian dalam diperbuat daripada kain kapas. Penggunaan cairan pembasuh faraj harus dilakukan secara bijaksana dengan mengetahui suatu prinsip bahawa bahagian itu bersifat asidik yang juga lingkungan normal bagi flora normal (mikroorganisme yang dalam jumlah normal tidak menyebabkan penyakit).

Adanya perubahan lingkungan normal tersebut misalnya dengan penggunaan cairan pembilas faraj yang bersifat alkali (mengandungi sabun) akan meningkatkan pertumbuhan flora secara abnormal. Jadi gunakan pencuci atau pembersih faraj secara berpada-pada dan tidak keterlaluan. Anda boleh menjalani ujian pengesahan jenis kuman, secara kesatan (swab) dan ujian darah.

Baca lain-lain artikel - KLIK DISINI

Share:

Tubuh celaru

AWALNYA, Wei Ling (bukan nama sebenar), 26, tidak menganggap kesukaran dan gangguan tidur dialaminya satu masalah kerana beranggapan keadaan itu normal bagi kebanyakan orang yang melakukan kerja tambahan.

Menceritakan rutin kehidupannya, dia pada mulanya bertugas di sebuah syarikat mengikut waktu pejabat jam 9 pagi hingga 5 petang, namun apabila mendapat tawaran melakukan kerja sampingan pada malam hari dalam industri hiburan yang cukup mencabar dan menarik, dia mengambil peluang itu.

Jadual kerjanya dari awal pagi sehingga lewat malam itu menyebabkan Wei Ling mula mengalami tabiat tidur tidak normal sehingga mula menjejaskan tumpuan dan aktiviti seharian.

Bagaimanapun, dia tidak menghiraukan keadaan itu dan meneruskan rutin harian sehingga menyedari keadaan tubuh, perlakuan dan mindanya semakin terjejas.

Dia bukan saja tidak mampu fokus dalam setiap kerja dilakukan, tiada selera makan, kurang minat bersosial bersama rakan dan sentiasa rasa diri kurang bersedia, tetapi juga kegembiraannya mula bertukar menjadi kemurungan.
Menyedari dirinya berdepan masalah kesihatan yang semakin kritikal, Wei Ling sedar dia perlu mendapatkan bantuan doktor.

Pada awalnya, dia berjumpa dengan doktor biasa yang memberinya ubat-ubatan untuk membantu mengatasi masalah dialami terutama memberinya tidur lebih lena, namun ia tidak menunjukkan kesan terbaik.

Kemudian, dia sekali lagi bertemu doktor biasa yang merujuk kesnya kepada seorang pakar psikiatrik dan dia dikesan mengalami simptom masalah kemurungan.

Selepas menjalankan beberapa ujian, pakar psikiatrik berkenaan mengesahkan Wei Ling berdepan masalah kemurungan tahap awal dan beliau terus merawatnya melalui kaedah kaunseling dan perubatan.

Beliau turut menyarankan supaya berhenti bekerja tambahan di waktu malam kerana segelintir orang sepertinya tidak sesuai melakukannya banyak kerja kerana kitaran ritma sirkadian tubuh mereka sukar menerima corak perubahan itu.

Akur dengan nasihat doktor, selepas tiga hingga empat bulan, masalah kemurungan dialami Wei Ling akhirnya pulih dan dia mampu menjalani kehidupan normal dan gembira bersama keluarga, rakan dan orang sekeliling.

Kes 2

RAHMAN Abdul Rahim (bukan nama sebenar), 51, adalah seorang jurutera berjaya di sebuah syarikat ternama yang menjalani kehidupan cukup gembira dan bahagia bersama isteri serta dua orang anak perempuan.

Keperluan tugasnya yang cukup sibuk ditambah sikapnya yang sangat kuat menjadikan dia adalah orang pertama sampai ke pejabat dan terakhir pulang ke rumah. Keadaan itu baginya adalah suatu kebiasaan asalkan kerjanya dapat diselesaikan mengikut waktu ditetapkan serta mencapai sasaran tugas dikehendaki.

Sikap komited terhadap tugas dan kedudukannya sebagai jurutera kanan membuatkan dia dipilih mengetuai pasukan kakitangan untuk menyediakan kertas kerja berhubung satu projek mega.

Ekoran sikapnya yang meletakkan jangkaan tinggi dalam sesuatu tugasan untuk mendapatkan hasil terbaik, dia mendesak ahli pasukan supaya bekerja keras namun tetap tidak berpuas hati dengan kerja dilakukan mereka walaupun ia beberapa kali diperbaiki.

Dia menganggap dirinya seorang ketua tidak berguna, tidak mampu menghasilkan kertas kerja terbaik, merasa teruk, resah dan cepat letih.

Keadaan itu menjadikan Rahman kurang keyakinan untuk ke pejabat dan berdepan bos serta rakan-rakan kerja yang sering menganggapnya tidak mampu mengetuai pasukan.

Ia juga menyebabkan dia mengalami kebimbangan, masalah tidur, hilang selera makan, tidak mempunyai harapan, sering memohon cuti kerja dan mengambil cuti sakit.

Lebih teruk, ketika di rumah, dia lebih banyak menghabiskan masa terperap di dalam bilik, pura-pura tidur dan hanya keluar bilik apabila isteri serta anak-anaknya tiada di rumah.

Atas desakan berterusan daripada isterinya supaya bertemu pakar psikiatrik, dia akhirnya bersetuju dan bertekad untuk mengatasi masalah itu.

Hasil pengalaman dan ujian tahap kesihatan yang dijalankan pakar psikiatrik, beliau mengesahkan Rahman mengalami masalah kemurungan serius sebelum dia dirawat melalui penggunaan ubat-ubatan, bagi membaikpulih saraf berhubung gangguan Ritma Sirkadian.

Dalam tempoh sembilan bulan, Rahman diberi terapi yang mampu membantunya mengatasi masalah itu dan memberinya kehidupan gembira, bahagia dan normal seperti sebelum ini.


DUA kes di atas adalah senario yang membelenggu kehidupan dan diri penghidap kemurungan. Takrif kemurungan itu adalah satu bentuk gangguan perasaan atau emosi yang dialami seseorang sama ada di dalam jangka masa pendek atau jangka masa panjang sehingga bertahun-tahun lamanya.

Namun, hakikatnya, penghidap di atas dan juga mungkin ada lebih ramai lagi yang tidak menyedarinya, masalah mereka bukan berkisar kepada aspek emosi semata-mata sebaliknya lebih daripada itu. Ini kerana mereka turut mengalami satu atau lebih simptom gangguan ‘circadian rhythm’ atau ritma sirkadian seperti rasa sedih dan kosong, hilang minat terhadap aktiviti kegemaran, cepat letih, kurang bertenaga, mudah berputus asa serta menganggap diri tidak berguna.

Mereka juga mungkin mengalami gangguan tidur, hilang selera makan, penurunan berat badan, mudah marah, berasa tidak tenteram, menganggap mati lebih baik daripada hidup, kurang fokus, sukar membuat keputusan dan simptom fizikal seperti sakit kepala, sakit badan serta masalah penghadaman.

Kajian kesihatan beberapa tahun lalu, mendapati masalah kemurungan dialami kira-kira 121 juta manusia di seluruh dunia dan dijangka meningkat berikutan persaingan ekonomi.

Lebih membimbangkan, kajian kesihatan mental direkodkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan, masalah keempat paling ramai dihidapi penduduk dunia itu turut dialami kanak-kanak.

Andai masalah kemurungan ini tidak dirawat segera dan sewajarnya, ia boleh mengakibatkan perubahan negatif kepada penghidapnya dari segi kelakuan serta pemikiran sehingga menyumbang kepada kematian akibat bunuh diri.

Bagaimanapun di Malaysia, kegagalan seseorang mengenali simptom kemurungan akibat kurang kesedaran dan pengetahuan mengenai masalah itu, menyebabkan ramai tidak dirawat sedari awal.

Pakar psikiatris dan Bekas Presiden Persekutuan ASEAN berkaitan Psikiatrik dan Kesihatan Mental (AFPMH), Profesor Dr Mohamad Hussain Habil, berkata sebanyak 82 peratus daripada penghidap masalah kemurungan yang tampil menjalani rawatan daripada doktor biasa, pada awalnya tidak mengetahui mereka mengalami gejala masalah kemurungan.

“Sebanyak 18 peratus penghidap hanya diberi ubat bagi menangani simptom yang dialami kerana doktor biasa tidak mempunyai kepakaran mengenalpasti atau merawat secara tepat masalah psikiatrik dan kesihatan mental.

“Sebenarnya punca utama masalah kemurungan adalah gangguan dikenali Ritma Sirkadian iaitu kecelaruan kitaran dalaman tubuh seseorang yang berfungsi mengawal proses biologikal seperti aktiviti gelombang otak, penghasilan hormon dan penjanaan semula sel.

“Gangguan Ritma Sirkadian yang dialami ini mampu mengubah kitaran aktiviti individu sama ada ketika berjaga atau tidur, pembebasan hormon, suhu badan dan fungsi penting tubuh.

“Akibat perubahan ini yang biasanya disebabkan banyak faktor seperti tekanan persekitaran, keturunan, personaliti pesimis iaitu tahap keyakinan rendah dan penyakit, seseorang mula berubah menjadi murung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bengkel Media Malaysia Servier bertemakan ‘Penetapan Semula Ritma Sirkadian Memberikan Dimensi Baru Kepada Masalah Kemurungan’ anjuran syarikat farmaseutikal Servier Malaysia Sdn Bhd, sempena Bulan Kesihatan Mental.

Selain Mohamad Hussain, bengkel itu disertai dua ahli panel iaitu Perunding Psikiatrik, Jabatan Psikiatrik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Azhar Md Zain dan Perunding Psikiatrik Swasta, Dr Ting Joe Hang.

Mengulas lanjut, Mohamad Hussain berkata, penting bagi individu memahami secara mendalam kaitan gangguan Ritma Sirkadian dan masalah kemurungan supaya ia mampu dikesan dan dirawat segera.

“Andai anda mengalami simptom kemurungan, segeralah berjumpa dengan pakar psikiatrik bagi memastikan anda mampu dirawat secara berkesan dan kembali menjalani kehidupan normal.

“Jangan dapatkan rawatan dari pakar perubatan biasa kerana hanya pakar psikiatrik mampu memahami dan menyelesaikan masalah anda mengikut jenis rawatan paling sesuai.

“Antara rawatan diberikan selain perbincangan pakar dan penghidap adalah ubat-ubatan anti kemurungan yang menumpukan gangguan pemancar saraf (neurotransmitter) dan penggunaan agomelatine yang memfokuskan saraf penerima melatonergic di dalam otak,” katanya.

Namun, katanya, pada masa sama, orang ramai perlu membuang stigma bahawa individu yang bertemu pakar psikiatrik adalah gila kerana kemurungan bukan penyakit mental.

“Stigma itu hanya membantutkan niat seseorang bertemu pakar psikiatrik dan menyebabkan rawatan sukar diberi selain menambah trauma pengidap,” katanya.

Kemurungan, jelasnya, bukan masalah ringan dan memerlukan perhatian serta rawatan sewajarnya bagi memastikan penghidap tidak mengalami masalah kesihatan mental yang lebih serius.

INFO: Simptom kemurungan
Perasaan sedih dan kosong
Hilang minat terhadap aktiviti kegemaran
Cepat letih
Menganggap diri tidak berguna
Kurang bertenaga
Mudah berputus asa
Hilang selera makan
Mengalami gangguan tidur
Penurunan berat badan
Kerap marah
Perasaan tidak tenteram
Menganggap mati lebih baik daripada hidup
Kurang fokus
Sukar membuat keputusan

Kaitan gangguan Ritma Sirkadian dan masalah kemurungan

Perubahan Mood Harian
Kemurungan di waktu pagi dan keadaan mood yang tidak normal

Corak Aktiviti Siang Hari
Kurang bertenaga, tumpuan rendah, waktu makan tidak teratur

Pengurusan Malam Hari
Sukar tidur, gangguan ketika tidur kerana kerap terjaga serta bangun awal

Konsentrasi Terjejas
Keletihan pada siang hari dan mengantuk.

Baca lain-lain artikel - KLIK DISINI

 

Share:

Seorang bantu 3 nyawa

DERMA darah amalan mulia yang bukan saja memupuk nilai baik dalam diri dan menjadi tanggungjawab sosial, tetapi paling penting turut membantu menyelamatkan nyawa. Malangnya di negara kita, amalan ini dianggap kurang mendapat sambutan terutama daripada golongan muda.

Hakikatnya, kempen derma darah tidak mungkin berjaya andai masih ada persepsi negatif menganggap ia perkara memudaratkan. Keluhan sering didengar - takut gemuk atau takut jarum bukan saja tidak tepat tetapi turut menjejaskan kempen murni ini.
Seperti ditegaskan Pakar Transfusi Pusat Darah Negara (PDN), Dr Kam Wooi Seong, pendermaan darah tidak memudaratkan badan.
Menyedari kepentingan amalan itu, PDN sentiasa mengambil langkah berterusan menggalakkan kesedaran masyarakat dan meningkatkan kesediaan mereka untuk menderma darah bagi memastikan stok Tabung Darah Negara (TDN) sentiasa mencukupi.

Menurut Dr Kam, setakat ini stok darah TDN stabil, namun pada masa sama, hampir setiap hari PDN akan menganjurkan kempen derma darah di pelbagai lokasi yang dikenali sebagai kempen bergerak atau ‘blood mobile’ terutama di pusat beli-belah, pasar raya dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

PDN juga, katanya, memberi pendedahan mengenai kepentingan menderma darah kepada penderma dan penerima melalui kempen yang dianjurkan.

“Sepanjang Ramadan lalu, kira-kira 400 kakitangan kami bekerja lebih masa sehingga jam 2 atau 3 pagi apabila PDN melanjutkan waktu derma darah selepas jam 8 malam bagi memberi peluang umat Islam berbuka terlebih dulu sebelum menderma darah.
“Pada hari ketiga cuti Aidilfitri, kami sudah memulakan operasi dan mengadakan blood mobile bagi memastikan stok darah terus mencukupi dalam menghadapi kemungkinan kes kemalangan yang kerap berlaku pada musim perayaan,” katanya.

Selain itu, stok darah juga diperlukan untuk kes lain termasuk pembedahan, leukemia, barah, talassemia, penyakit jantung, komplikasi pendarahan ketika bersalin dan haemophilis.

Kebanyakan orang menganggap derma darah hanya membabitkan pengambilan sel darah merah tetapi sebenarnya ada tiga jenis komponen pendermaan iaitu sel darah merah, platelet dan plasma. Pendermaan komponen sel darah merah dikenali pendermaan keseluruhan darah manakala platelet, plasma atau keduanya-keduanya disebut pendermaan aferesis.

Lebih tepat, ujar Dr Kam, pendermaan keseluruhan bermaksud penderma perlu menyumbang darah merah berdasarkan isi padu tertentu mengikut berat badan masing-masing, manakala pendermaan aferesis memerlukan penderma menderma sel tertentu darah yang mana komponen darah yang tidak diperlukan akan dikembalikan semula ke dalam tubuh mereka.

Justeru, katanya, PDN sentiasa memastikan stok ketiga-tiga jenis komponen pendermaan itu mencukupi kerana ia mempunyai kepentingan atau kegunaan masing-masing.

Secara ringkas, sel darah merah digunakan untuk masalah kekurangan hemoglobin seperti penyakit buah pinggang dan kanser. Platelet pula diperlukan untuk pesakit mengalami kekurangan platelet seperti demam denggi dan leukemia manakala plasma bagi pendarahan semasa bersalin, melecur akibat kebakaran serta pendarahan ekoran kerosakan hati.

Darah dikumpul TDN mempunyai tarikh luput tertentu seperti sel darah merah yang boleh bertahan 35 hari, platelet (lima hari) dan plasma (dua tahun), sekali gus memerlukan PDN mencari penderma baru bagi menggantikan stok darah berkenaan.

Bagi memastikan usaha PDN sentiasa berjaya, orang ramai digalakkan menderma darah mengikut jenis komponen dipilih sendiri kerana darah yang disumbangkan seseorang penderma mampu membantu menyelamatkan tiga nyawa. Untuk maklumat, tarikh dan lokasi penganjuran blood mobile, layari www.pdn.gov.my atau hubungi.

Baca lain-lain artikel - KLIK DISINI

Share:

Kurangkan melancong

SESEORANG itu bebas bergerak dan melakukan pelbagai aktiviti dalam kehidupan seharian, namun apabila disahkan hamil, ramai tertanya-tanya adakah mereka masih boleh melakukan aktiviti yang biasa dilakukan atau sebaliknya.

Persoalan paling biasa diajukan ialah, bolehkah wanita hamil melancong atau melakukan perjalanan jauh? Adakah ia boleh menjejaskan kandungan atau kesihatan ibu? Makan angin atau melakukan perjalanan jauh bukan punca keguguran kerana ia bergantung kepada tahap kesihatan wanita hamil.

Ketika hamil, mereka mungkin mendapat alahan seperti muntah-muntah di awal kehamilan dan ini mungkin menyebabkan ketidakselesaan melakukan perjalanan jauh.

Apabila hamil, wanita juga mudah letih dan jika melakukan perjalanan jauh, tentu akan lebih memenatkan tubuh mereka.

Perunding Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pantai Cheras, Dr Suriati Akmal Mahari berkata, ibu mengandung yang mengalami pendarahan dinasihatkan supaya tidak melakukan perjalanan jauh dan adalah lebih baik ibu berehat sehingga masalah itu selesai.

Pendarahan ialah tanda awal janin hendak gugur tetapi jika degupan jantungnya berkeadaan baik, bayi berkenaan sihat.

Menurutnya, segelintir wanita hamil mengambil keputusan menghentikan semua aktiviti yang biasa dilakukan mereka kerana bimbang tindakan itu boleh menyebabkan pendarahan dialami bertukar kepada keguguran.

Bagaimanapun, katanya, sebaik-baiknya ibu hamil meneruskan aktiviti harian yang biasa dilakukan mereka , misalnya melakukan kerja rumah, kerana perbuatan itu tidak boleh menyebabkan keguguran.

Beliau berkata, jika wanita itu pernah mempunyai kes kelahiran bayi tidak cukup bulan, risiko untuknya berdepan masalah sama agak tinggi dan jika menaiki kapal terbang, bimbang kejadian itu berlaku dalam pesawat.

Jika kelahiran bayi berlaku di dalam pesawat, keadaan menjadi sulit kerana tiada doktor. Ini berlainan dengan menaiki kenderaan darat kerana jika berlaku kecemasan, mereka lebih mudah pergi hospital.

“Ramai orang salah anggap wanita hamil tidak boleh naik kapal terbang. Wanita yang hamil 32 atau 34 minggu tidak dibenarkan menaiki pesawat bukan disebabkan dikhuatiri memberi kesan mudarat kepada bayi, tetapi disebabkan syarikat penerbangan tidak mempunyai persiapan untuk menyambut kelahiran bayi jika wanita itu tiba-tiba hendak bersalin,” katanya.

Dr Suriati Akmal berkata, pastikan juga wanita terbabit tidak mengalami pendarahan sewaktu hamil kerana kedudukan uri di bawah tidak membolehkan perjalanan jauh atau melancong.

“Keadaan itu biasanya berlaku selepas usia kandungan 28 minggu dan jika terjadi pendarahan, wanita berkenaan biasanya dimasukkan ke wad atau dinasihatkan berehat di rumah. Jadi tidak sepatutnya dia menaiki penerbangan dalam keadaan kesihatan kurang stabil,” katanya.

Wanita hamil yang menghidap asma diingatkan supaya sentiasa membawa ubat sebagai persediaan menghadapi kemungkinan diserang penyakit itu.

Mereka yang ingin melakukan perjalanan jauh juga dinasihatkan membawa bersama rekod pemeriksaan kehamilan, terutama bagi kandungan yang ada masalah, misalnya bayi tidak membesar dengan baik.

Katanya, kes kelahiran tidak cukup bulan berlaku pada bila-bila waktu sepanjang kehamilan.

Jika usia kandungan 16 minggu, ia dipanggil keguguran, pada usia 24 minggu, biasanya bayi tidak boleh hidup dan kandungan lahir normal selepas berusia 37 minggu ke atas.

“Seseorang itu perlu meneliti sama ada dia mempunyai risiko bersalin awal atau sebaliknya berdasarkan sejarah kelahiran anaknya yang terdahulu.

“Jika terpaksa berada lama dalam penerbangan, wanita hamil dinasihatkan menggerak-gerakkan kakinya kerana duduk terlalu lama meningkatkan risiko berlaku darah beku.

“Darah beku dari saluran darah di kaki yang bergerak ke dalam aliran darah ke paru-paru boleh menyebabkan ibu hamil mengalami masalah kekurangan bekalan oksigen.

“Ini menyebabkan ibu hamil tidak dapat bernafas dengan baik, sekali gus mendedahkan risiko mendapat pulmonary embolism (PE).

“PE yang serius boleh menyebabkan kerosakan sebahagian paru-paru kerana kekurangan aliran darah kepada tisu paru-paru. Kes itu biasanya dirujuk ke unit rawatan rapi,” katanya.

Bagi mereka yang terdedah kepada risiko darah beku, langkah pencegahan perlu diambil dengan mengelakkan perjalanan dalam tempoh lama.

Baca lain-lain artikel - KLIK DISINI

Share:

Pendarahan : Rawat awal

KITA mudah panik apabila mengalami pendarahan ketika muntah mahupun buang air besar. Pelbagai andaian dibuat, misalnya kemungkinan menghidap penyakit kronik atau misteri.

Sama ada darah itu keluar daripada mulut atau dubur, pendarahan berkenaan yang juga dikenali sebagai pendarahan gastrousus (GI) atau saluran pencernaan tidak seharusnya dipandang ringan dan perlu dirujuk ke doktor pakar.

Ia boleh dibahagikan dua bahagian iaitu pendarahan di bahagian atas saluran pencernaan meliputi mulut, esofagus, perut dan bahagian awal usus kecil, manakala pendarahan di saluran pencernaan bahagian bawah meliputi usus kecil ke usus besar hingga ke rektum dan dubur.

Walaupun pendarahan saluran pencernaan di bahagian bawah adalah lebih rendah (20 hingga 30 peratus) secara statistik, ia dianggarkan lebih tinggi kerana kebanyakan pesakit tidak berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.

Pakar perunding pembedahan Hospital Pantai Klang, Dr Shalizan Torman berkata, pendarahan boleh berlaku di mana-mana bahagian GI.

Biasanya pesakit datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan mengenal pasti punca sebenar apabila berlaku pendarahan.

Tahap serius pendarahan itu bergantung kepada berapa banyak atau jumlah pendarahan, lokasi pendarahan dan penyebab pendarahan.

Penyebab pendarahan GI berbeza mengikut peringkat umur pesakit. Kanak-kanak jarang berdepan risiko ketumbuhan atau kanser, manakala pesakit dewasa berdepan risiko ketumbuhan atau kanser.

Golongan dewasa berumur 40 tahun ke atas tergolong dalam golongan berisiko tinggi jika mengalami pendarahan usus.

PENYEBAB

Pendarahan saluran pencernaan di bahagian atas:

Ulser perut — boleh menyebabkan pendarahan jika ulser menyebabkan saluran darah terdedah dan terluka. Lebih 50 peratus pendarahan saluran pencernaan atas adalah disebabkan oleh ulser.

Gastrik — radang pada membran mukus yang melapik perut.

Saluran darah pada esofagus yang membengkak (‘oesophageal varices’).

Mallory-weis tears — luka pada hujung esofagus yang disebabkan oleh muntah yang teruk.

Kanser pada dinding gaster (perut).


Pendarahan saluran pencernaan di bahagian bawah:

Kebanyakan pendarahan adalah dari bahagian usus besar dan rektum berbanding usus kecil.

Anal fissure iaitu luka kerekahan pada bahagian dubur, biasanya disebabkan najis besar dan keras. Apabila najis keras dan besar keluar, ia boleh menyebabkan bahagian dubur koyak dan berdarah.

Buasir iaitu pembengkakan di saluran darah pada hujung dubur.

Diverticular disease — ada keganjilan pada dinding usus besar yang boleh menyebabkan pendarahan.

Angiodisplasia — keabnormalan pada saluran darah di dinding usus dan masalah ini berlaku terutama di kalangan warga emas.

Keradangan usus.

Jangkitan usus.

Kanser usus besar — semua kanser saluran pencernaan boleh menyebabkan pendarahan.

Polip atau ketumbuhan bukan kanser dalam saluran gastrousus juga mungkin penyebab pendarahan. Sesetengah polip boleh bertukar menjadi kanser.

Warna darah yang keluar juga dapat memberikan gambaran kasar punca penyakit dan lokasi pendarahan. Darah berwarna merah cerah bermakna punca pendarahan berdekatan kawasan dubur dan bahagian bawah saluran pencernaan seperti buasir, ‘anal fissure’ dan kanser pada bahagian bawah usus besar.

Jika warna darah merah gelap, bermakna pendarahan berlaku pada bahagian usus yang lebih dalam. Pada umumnya ia mungkin disebabkan penyakit lebih berbahaya seperti kanser usus.

Warna najis yang hitam dan melekit seperti tar atau ‘melena’ dan berbau sangat busuk.

Darah boleh bertukar daripada kebiasaan berwarna merah kepada hitam akibat proses tindak balas kimia oleh enzim penghadaman dan pencernaan yang berlaku kepada sel darah merah.

Ia menandakan ada pendarahan pada bahagian lebih atas saluran pencernaan seperti esofagus, perut atau duodenum (usus kecil).

Penyakit yang biasa dikaitkan dengan najis berupa seperti tar ini ialah pendarahan daripada ulser perut dan gastrik.

Pendarahan saluran pencernaan ini boleh menyebabkan seseorang pesakit berasa lesu, pening, pitam dan kelihatan pucat, khususnya bagi mereka yang mengalami pendarahan yang banyak sekali.

Semua tanda terbabit berkaitan dengan kekurangan sel darah merah dalam tubuh pesakit atau juga dipanggil anemia.

UJIAN YANG BIASA DILAKUKAN

Ujian rektum digital yang memerlukan doktor melihat dan memasukkan jari ke dalam dubur pesakit. Ujian ini hanya mengambil masa satu atau dua minit dan tidak menyakitkan.

Biasanya melalui pemeriksaan ini, doktor boleh memeriksa keadaan dinding usus dan dapat mengesan buasir, kanser atau lain-lain ketumbuhan berdekatan dubur.


Pemeriksaan endoskopi – kaedah ini digunakan doktor pakar dengan memasukkan tiub berkamera (yang dapat memancarkan imej kepada mata pemeriksa) yang fleksibel ke dalam saluran pencernaan sama ada melalui mulut atau dubur.
Kaedah ini digunakan untuk mengetahui punca penyakit dan merawat penyakit.

Ketika melakukan pemeriksaan, doktor dapat mengetahui punca pendarahan dan melalui kaedah ini juga doktor pakar boleh menghentikan punca pendarahan.


Angiogram — memasukkan cecair khusus ke dalam saluran darah dan melihat di mana lokasi pendarahan itu berlaku. Ia juga boleh digunakan sebagai rawatan pada pesakit angiodysplasia dan ulser.

Kaedah ini digunakan jika pemeriksaan endoskopi atau kolonoskopi tidak dapat mengesan punca pendarahan atau tidak dapat menghentikan pendarahan.

Dr Shalizan berkata, rawatan bergantung kepada punca pendarahan terbabit dan antara kaedah rawatan termasuk ubat-ubatan, rawatan melalui endoskopi dan ada juga yang memerlukan pembedahan apabila pendarahan terlalu serius atau banyak.

“Pada umumnya, penyakit seperti gastrik, ulser dan keradangan usus boleh dirawat dengan pengambilan ubat saja. Namun, bagi penyakit seperti kanser usus, pembedahan a dalah jalan terbaik.

“Buasir pula boleh dirawat secara ubat-ubatan di peringkat awal dan mungkin memerlukan pembedahan jika penyakit menjadi lebih serius,” katanya.

Walaupun ramai menganggap agak memalukan untuk berjumpa doktor, ia tidak boleh dipandang ringan dan perlu diberikan perhatian segera bagi mengesan punca sebenar pendarahan terbabit.

Ramai menganggap ia bukan perkara yang membimbangkan kerana kebanyakan pendarahan berhenti tanpa mendapatkan rawatan.

“Ada juga pesakit enggan diperiksa dan hanya ingin mendapatkan ubat bagi masalah ini. Pandangan ini harus diubah kerana tanpa pemeriksaan selanjutnya, masalah sebenar tidak dapat diketahui dan rawatan tidak dapat diberikan secara optimum.

“Pengesanan awal, terutama penyakit ketumbuhan pada salur pencernaan, dapat dirawat lebih awal dan rawatan awal dapat menjanjikan keputusan lebih baik,” katanya.

Baca lain-lain artikel - KLIK DISINI

Share:

IVF bantu pasangan tiada anak

IVF (In Vitro Fertilization) yang sering disebut sebagai bayi tabung uji ialah proses persenyawaan yang berlaku di luar tubuh. Ia kaedah bagi membantu pasangan suami isteri yang menghadapi masalah kesuburan mendapatkan zuriat.

Untuk menjalani rawatan IVF, beberapa suntikan harian dilakukan supaya telur menjadi matang. Ia kemudian dikeluarkan dari kilang telur dan disenyawakan dengan sampel sperma daripada suami di dalam makmal.

Menurutnya, selepas wanita menjalani rawatan kesuburan, telur matang dan ia dikeluarkan dengan bantuan ultrasound. Satu jarum khas dimasukkan ke dalam kilang telur untuk menyedut telur dari kilang telur. Kira-kira 15 telur dihasilkan melalui kaedah suntikan.

Kesakitan prosedur itu sama seperti mengambil sampel darah dan cuma mengambil masa 15 minit. Untuk mengelakkan pesakit yang takut menjalani prosedur itu, mereka akan dibius ubat tahan sakit.

“Setiap bulan kilang telur menghasilkan satu telur yang mengambil masa dua minggu untuk matang. Apabila matang, telur akan menetas dan ia akan dikutip oleh bahagian hujung tiub fallopio dan memasuki tiub itu. Jika pada hari berkenaan pasangan bersama, sperma yang berenang masuk ke tiub fallopio melalui rahim disenyawakan dengan telur dan menjadi embrio (bayi).”

“Embrio mengambil masa lima hari perjalanan dari tiub fallopio untuk masuk ke dalam rahim. Tiub itu bukan saja mengutip telur tetapi juga tempat persenyawaan berlaku. Ia seperti tapak semaian untuk lima hari pertama perkembangan embrio malah bayi mendapat semua nutrien untuk tumbesarannya sepanjang tempoh itu,” katanya.

Dr Surinder berkata, IVF mengambil alih fungsi tiub fallopio mengutip telur dan proses persenyawaan dijalankan di makmal. Embrio yang berjaya dihasilkan menerusi kaedah itu akan dimasukkan kembali ke dalam rahim menggunakan tiub khas melalui pangkal rahim.

PERKEMBANGAN EMBRIO

Pada hari pertama, sel embrio berpecah menjadi dua, pada hari ke dua terbahagi empat, hari ketiga berkembang menjadi lapan, hari keempat (16 hingga 32) dan hari kelima, menjadi blastocyst seterusnya pecah dan keluar dari sarung (menetas) pada hari keenam.

Embrio boleh dimasukkan ke dalam rahim pada hari kedua, ketiga, keempat atau kelima. Pada hari kelima, peluang untuk wanita itu hamil lebih tinggi.

Terdapat dua kaedah persenyawaan yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah ketidaksuburan dan kesukaran pasangan yang sukar mendapatkan zuriat.

Dalam kaedah IVF, setiap telur ditaburkan dengan 100,000 sperma. Bagi kaedah ICSI (jika sampel sperma kurang baik), satu sperma yang sihat disedut dengan jarum berlubang dan disuntik ke dalam telur). Mikroskop khas serta alat robotik diperlukan untuk melakukan proses ICSI.

Embrio dimasukkan ke dalam inkubator dengan tahap karbon dioksida, suhu dan kelembapan sama seperti di dalam tiub fallopio.

Pasangan digalakkan datang awal untuk rawatan. Ini kerana, apabila wanita semakin berumur, peluang untuk hamil semakin kurang. Biasanya, pada usia lebih 37 tahun, peluang untuk hamil menjadi semakin kurang.

“Pada hari bayi akan dimasukkan ke dalam rahim, pengamal perubatan akan berbincang dengan pasangan mengenai bilangan embrio yang akan dimasukkan. Daripada 15 telur, kira-kira 12 embrio yang akan terhasil manakala selebihnya tidak.

“Lebih banyak bayi dimasukkan, lebih tinggi peluang untuk hamil tetapi risiko anak kembar lebih tinggi. Oleh itu, memasukkan tiga embrio tidak digalakkan, sebaliknya cuma dua embrio yang disaran untuk dimasukkan ke dalam rahim bagi proses IVF,” katanya.

Jika hanya satu embrio yang dimasukkan ke dalam rahim, peluang untuk hamil ialah 20 peratus manakala jika dua embrio (50 peratus) dan tiga embrio (60 peratus). Memasukkan satu embrio lebih selamat manakala jika dua embrio, risiko anak kembar meningkat sebanyak 30 peratus.

“Pasangan tidak digalakkan untuk mengandungkan anak kembar dua kerana memberi risiko kepada bayi sama ada keguguran, kecacatan atau lahir pramatang. Ibu pula mungkin mengalami mabuk lebih teruk dan peluang untuk mendapat diabetes atau darah tinggi ketika hamil lebih tinggi. Risiko semakin tinggi jika mengandungkan anak kembar tiga dan ibu perlu melahirkan anak melalui kaedah caesaran,” katanya.

MASALAH KETIDAKSUBURAN

Kira-kira 40 peratus masalah kesuburan berpunca daripada lelaki, 40 peratus lagi daripada wanita dan selebihnya kombinasi di kalangan suami dan isteri.

Masalah dihadapi lelaki ialah jumlah sperma kurang, kurang bilangan sperma yang berenang atau bentuk sperma abnormal. Wanita pula menghadapi masalah di kilang telur, rahim atau tiub fallopio. Di kilang telur, Polycystic Ovary Syndrome (PCOS) mengancam kesuburan apabila wanita itu mempunyai hormon lelaki (androgen) atau insulin terlalu tinggi.

Wanita perlu ada sedikit hormon androgen untuk membesarkan telur tetapi jika hormon terlalu tinggi, boleh menjejaskan pembesaran telur. Telur tidak boleh membesar dan kualiti telur terjejas menyebabkan wanita terbabit sukar hamil.

Satu lagi punca ketidaksuburan ialah penyakit endometriosis iaitu tisu yang melapisi bahagian dalam rahim tersebar dan tumbuh di kawasan organ lain di dalam tubuh wanita. Selain itu, masalah ketidaksuburan turut berpunca daripada jangkitan kuman pada tiub fallopio seperti chlamydia yang boleh menyebabkan dinding tiub tersumbat. Jika hamil pun, wanita terbabit mungkin berisiko untuk mengandung luar rahim.

Masalah rahim pula pelbagai, antaranya:

bentuk rahim yang abnormal. Terdapat rawatan pembedahan untuk menjadikan bentuknya normal.

polip di dinding rahim.
fibroid (sub mukus) di dalam rahim perlu dibuang.

pernah mengalami keguguran dan menjalani proses D&C (pembedahan untuk mengembangkan serviks dan mengosongkan rahim dengan perlahan-lahan untuk rawatan pembedahan keguguran) dan didapati ada pelekatan atau luka di dinding rahim.

Baca lain-lain artikel - KLIK DISINI


Share:

Trauma ekzema

RAMAI menyangkakan persekitaran atau cara hidup yang tidak mengutamakan kebersihan sebagai penyebab terjadinya jangkitan atau kegatalan kulit. Namun, hakikatnya, persekitaran yang terlalu bersih juga boleh menyebabkan jangkitan, kegatalan atau alahan kepada kulit. 

Penyakit ekzema, kegatalan atau radang kulit misalnya, lebih banyak ditemui di negara maju, yang kebiasaan rakyatnya mengambil berat mengenai kebersihan. Bilangan penghidap ekzema yang tinggi dicatatkan di negara maju sejak tiga dekad yang lalu.
“Ia barangkali disebabkan persekitaran terlalu bersih di negara maju hingga membuatkan sistem imun badan seseorang itu malas, seterusnya tidak dapat membezakan antara unsur baik ataupun jahat.

“Sistem imun yang malas ini akan bertindak balas dengan setiap bakteria yang ada hingga membuatkan seseorang terlampau sensitif dan mudah mendapat alahan,” kata Perunding Dermatologi Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Leong Kin Fon.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kempen menentang ekzema di Malaysia,‘United Against Itch’, anjuran LEO Pharma baru-baru ini.

LEO Pharma, sebuah syarikat farmaseutikal berasaskan penyelidikan dari Denmark bekerjasama dengan doktor tempatan dan antarabangsa untuk menentang ekzema, penyakit kulit yang dihidapi dua daripada 10 rakyat Malaysia, namun boleh dirawat. Pengurus (Negara) LEO Pharma, Tan Keng Aun berkata, kerjasama yang dijalinkan ini bertujuan untuk mewujudkan kesedaran mengenai ekzema serta memberitahu masyarakat bahawa ada harapan untuk penghidapnya mengawal penyakit ini.

Mengulas lanjut masalah ekzema, Dr Leong berkata, berdasarkan pemantauan penyelidik, ada kaitan antara kebanyakan pesakit ekzema dengan tahap pembangunan negara. Sebagai contoh, di Malaysia, sejumlah 12.6 peratus penghidap ekzema adalah murid sekolah berbanding Indonesia, kira-kira 3.7 peratus. Fenomena ini turut dilihat di bahagian Malaysia Timur yang mana kadar penghidapnya lebih rendah jika dibandingkan dengan Semenanjung.

Dr Leong berkata, antara ciri ekzema adalah kegatalan kulit yang membuatkan pesakit sentiasa ingin menggaru. Kulit penghidap ekzema juga sangat kering kerana tiada lapisan yang menahan cecair daripada dalam kulit.

Malah, ada interaksi dinamik antara genetik dan persekitaran sebagai pencetus penyakit ekzema selain faktor tabiat gatal dan menggaru, cuaca panas, kering, peluh, bakteria, sabun atau pencuci yang mengeringkan kulit, alahan makanan dan hama.

“Seseorang juga boleh menghidap ekzema kerana faktor genetik atau immunologik serta kecenderungan pembiakan mikrob,” katanya.

Kulit pesakit ekzema biasanya sangat gatal, kemerahan dan kadangkala melepuh ketika mengalami serangan. Akibat kerap menggaru, kulit bukan saja semakin rosak, tetapi membolehkan bakteria Staphylococcus aureus (S. aureus) yang 95 peratus ada pada kulit penghidap ekzema atopik (permukaan), berjangkit dan membiak.

Akibatnya, kulit bukan saja lebih berisiko menjadi kering dan rapuh, tetapi ia juga semakin sensitif kepada impak bahan kimia atau elemen lain yang menimbulkan alahan.

“Apabila bakteria memasuki bahagian kulit yang renggang dan rosak kerana digaru, resapan toksin membuatkan kulit terus membengkak dan kegatalan yang teramat. Jangkitan ini memperlahankan lagi penyembuhan penyakit ini. Lama-kelamaan, kulit semakin bersisik tebal dan berkerak,” katanya.

Mereka yang mengalami ekzema sering terbelenggu dalam kitaran gatal dan desakan untuk menggaru bagi suatu tempoh yang lama. Bagi merawat penyakit ini, kitaran ini harus diputuskan.

Dr Leong berkata, ekzema boleh dikawal dengan penggunaan ubat yang dapat membantu memecahkan kitaran gatal-garu, memberikan kelegaan pantas daripada kegatalan, malah menghilangkan kelepuhan kulit dengan lebih baik.

Beliau juga lebih mengutamakan aspek konsultasi bersama ibu bapa atau penjaga kanak-kanak bagi memberi mereka pemahaman yang sewajarnya mengenai penyakit ini.

“Kaedah yang boleh diamalkan bagi mengawal ekzema adalah dengan menyeimbangkan faktor pencetus serangan ekzema.

“Penyakit ini tidak dapat dipulihkan, maka kawalan atau pengurusan yang baik diharap dapat mengurangkan atau memendekkan tempoh serangan, sekali gus menjadikan kanak-kanak yang lebih gembira,” kata beliau.

Perunding Dermatologi di Hospital Hammersmith, United Kingdom, Prof Anthony Chu, berkata ekzema bukan sekadar masalah penghidapnya semata-mata, tetapi turut memberi kesan kepada persekitaran dan kehidupan keluarga itu, termasuk waktu tidur mereka. Ini disebabkan anak kecil yang menderita ekzema kerap menangis dan sukar tidur dan sekali gus turut menjejaskan perkembangan fizikal mereka.

“Apa yang penting, ibu bapa, penjaga dan keluarga kanak-kanak perlu cekal menguruskan anak yang menghidap ekzema. Secara semula jadinya, penyakit ini akan beransur hilang apabila kanak-kanak itu menginjak dewasa.

“Majoriti pesakit menghidapnya sebelum mencecah usia lima tahun dan 50 peratus daripadanya pula pulih apabila mencapai usia 10 tahun. Jarang pesakit terus menghidap ekzema dari kecil hingga dewasa,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan supaya ibu, bapa dan penjaga saling membantu dalam menguruskan anak yang menghidap ekzema dan mencari kaedah paling sesuai bagi mengurangkan ketidakselesaan yang ditanggung anak mereka.

“Dari segi pengambilan ubat pula, ramai ibu bapa yang agak keberatan apabila diberitahu anak mereka perlu diberikan ubat yang mengandungi steroid kerana bimbangkan kesan sampingannya.

“Tanggapan begitu sewajarnya diubah. Sapuan ubat steroid dapat membantu mengawal penyakit ini dengan baik, dengan syarat ia digunakan dengan betul berdasarkan nasihat pakar.

“Selain itu, ibu bapa juga perlu berwaspada dalam memilih ubat. Walaupun ubat yang mungkin menjadi pilihan mereka itu berasaskan herba, tidak bermakna ia selamat diambil,” kata beliau.

Sementara itu, Pengurus (Negara) LEO Pharma, Tan Keng Aun berkata, kerjasama yang dijalinkan ini bertujuan untuk mewujudkan kesedaran mengenai ekzema serta memberitahu masyarakat bahawa ada harapan untuk penghidapnya mengawal penyakit ini.

INFO: Rawatan konvensional untuk ekzema




  • Mandi setiap hari dengan produk mandian yang lembut dan merawat kulit kering
  • Gunakan pelembap pada kulit
  • Sapu ubat sapu yang mengandungi steroid atau ubat sapu penghalang calcineurin
  • Sapu antibiotik
  • Penggunaan sedatif antihistamin

    Bagaimana untuk mengurangkan kitaran gatal-garu?
  • Pastikan kuku pesakit sentiasa pendek
  • Gunakan balutan tuala basah untuk anak kecil
  • Sedatif antihistamin
  • Sapuan dengan krim emolien
  • Gunakan tuala sejuk untuk mengelak daripada menggaru
  • Sokongan psikologi

  • Rawatan Ekzema - KLIK DISINI


    Share:

    Kawal kolesterol secara semula jadi

    PENYAKIT jantung dan strok adalah dua masalah kesihatan serius yang berpunca daripada tahap kolesterol tinggi. Keadaan itu dikatakan berkait rapat dengan beberapa faktor seperti keturunan, diet pemakanan dan gaya hidup seseorang.

    Bagi mengatasi kebimbangan seseorang berhubung risiko menghidap penyakit jantung dan strok, kajian terkini membuktikan sumber semula jadi juga dapat membantu merendahkan tahap kolesterol secara berkesan.

    Kajian itu juga menunjukkan, ada empat produk berasaskan sumber semula jadi yang kini berada di pasaran mampu mengurangkan tahap kolesterol secara sihat dan efektif, tanpa kesan sampingan. Empat bahan itu adalah sterol tumbuhan (plant sterols), bijirin oat, serbuk minyak ikan Omega 3 dan Psyllium Husk.

    Sterol tumbuhan yang turut dikenali Phytosterols atau Stanols adalah sebatian pada tumbuhan dan bersifat merendahkan tahap kolesterol. Malah, pengambilan produk itu akan menurunkan tahap kolesterol sebanyak 10 peratus hingga 15 peratus.

    Oat pula bijirin yang mengandungi serat larut dikenali ‘beta glukan’ yang terbukti merendahkan tahap kolesterol mereka yang mengamalkan pemakanannya.

    Kandungan serat, karbohidrat kompleks dan protein yang tinggi itu turut membantu menstabilkan kadar glukos dalam darah.

    Minyak ikan Omega 3 atau produk Omega 3 Fish Oil Powder pula adalah asid lemak yang penting bagi metabolisma normal kerana ia mengandungi Asid Lemak Tak Tepu (EPA) bagi mengurangkan inflamasi seluruh badan.

    Produk ini juga sesuai untuk penghidap masalah kesihatan hipertrigliseridemia, kardiovaskular sekunder dan tekanan darah tinggi.

    Selain itu, Persatuan Jantung Amerika mengesyorkan kepada pesakit jantung koronari supaya mengambil 1 gram minyak ikan seperti produk ini setiap hari.

    Psyllium Husk pula secara lazimnya digunakan untuk menangani sembelit, sindrom sakit perut serta meningkatkan kemampuan dan mengekalkan otot usus.
    Pada masa sama, penggunaannya mampu untuk menurunkan tahap kolesterol, mengawal diabetes dan mengurangkan risiko penyakit jantung koronari.

    Hasil kajian dijalankan The American Journal of Clinical Nutrition menunjukkan produk itu jika digunakan bersama bahan makanan, berkesan untuk mengurangkan glukosa dalam darah

    Baca lain-lain artikel - KLIK DISINI

    Share:

    Kesan masalah pendengaran anak

    MASALAH pendengaran bukanlah suatu masalah yang jarang-jarang berlaku di dalam masyarakat kita. Malah dalam dunia ini, masalah pendengaran dihadapi oleh setiap peringkat umur, sama ada peringkat bayi, remaja, dewasa mahupun warga tua. Untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai masalah pendengaran yang anda hadapi, penting untuk mengenali telinga anda terlebih dulu.

    Struktur telinga

    Secara fizikal, telinga boleh dibahagikan kepada tiga iaitu telinga luar, telinga tengah dan telinga dalam. Telinga luar terdiri daripada cuping telinga dan salur telinga anda. Manakala telinga tengah merangkumi gegendang telinga, tulang osikel (incus, stapes dan maleus), ruang telinga tengah serta tiub Eustachian (yang menyambungkan bahagian telinga tengah ke tekak).

    Telinga dalam pula terdiri daripada koklea, salur separuh bulat dan saraf auditori iaitu saraf pendengaran yang menghantar maklumat pendengaran dari koklea ke otak untuk ditafsirkan. Di otak pula, terdapat pusat pendengaran yang akan memproses maklumat yang sampai dan maklumat ini akan ditafsirkan sebagai pendengaran. Disebabkan hal inilah, kita dapat menikmati sensasi pendengaran.

    Untuk mendengar, kesemua bahagian telinga yang itu haruslah boleh berfungsi secara normal tanpa sebarang jangkitan atau abnormaliti. Sebarang gangguan di mana-mana bahagian akan menyebabkan individu berkenaan menghadapi masalah pendengaran dan kesan masalah ini bergantung kepada tahap keterukan masing-masing.

    Jenis masalah Pendengaran

    Penting untuk anda mengetahui jenis masalah pendengaran yang dihadapi kerana ia akan membantu anda dan menyelesaikan masalah itu. Terdapat masalah pendengaran yang boleh dirawat dan tidak boleh dirawat. Jika menghadapi masalah pendengaran yang tidak boleh dirawat, pemakaian alat bantu dengar adalah perlu.

    Terdapat tiga jenis masalah pendengaran iaitu masalah konduktif, sensorineural dan campuran. Masalah pendengaran konduktif berlaku apabila terdapat masalah atau jangkitan pada telinga luar dan telinga tengah.

    Contoh masalah dan jangkitan yang boleh menyebabkan masalah pendengaran konduktif ialah ketiadaan lubang telinga (atresia), cuping telinga kecil atau tiada cuping telinga (mikrotia / anotia), sumbatan tahi telinga di salur telinga, jangkitan kuman pada salur telinga atau telinga tengah dan gegendang telinga bocor/pecah.

    Masalah pendengaran sensorineural pula berlaku apabila terdapat masalah atau jangkitan pada telinga dalam, tempat di mana koklea dan saraf pendengaran berada. Masalah ini tidak dapat dilihat secara fizikal (tiada rembesan nanah atau kecacatan fizikal) tetapi hanya dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan pendengaran secara menyeluruh.

    Masalah ini tidak dapat dirawat, tidak seperti masalah pendengaran konduktif yang boleh dirawat secara pengambilan ubat atau pembedahan.

    Masalah pendengaran campuran pula berlaku apabila terdapat kehadiran kedua-dua masalah pendengaran serentak iaitu masalah pendengaran konduktif dan sensorineural hadir bersama. Contohnya, seseorang yang mempunyai masalah pendengaran sensorineural juga mempunyai mampatan tahi telinga dikategori sebagai mempunyai masalah pendengaran campuran. Apa juga masalah yang berlaku di telinga luar/tengah serta masalah di telinga dalam, ia disebut sebagai masalah pendengaran campuran.

    Berhati-hati jika anda mengalami tanda-tanda berikut. Segera berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan pendengaran anda.

    Meminta percakapan diulang berkali-kali.
    Bercakap dengan nada suara yang lebih kuat daripada biasa.
    Tidak memahami arahan yang diberikan atau silap memahami arahan.
    Sukar memahami perbualan di tempat bising.

    Terpaksa memalingkan kepala ke arah sumber bunyi dalam usaha untuk memahami apa yang didengari.

    Sukar memahami perbualan telefon.
    Toleransi terhadap bunyi bising berkurang.
    Suka memencilkan diri daripada bergaul dan berbual.
    Terdedah kepada bunyi yang sangat kuat.
    Terbabit kemalangan dengan kecederaan di bahagian kepala dan leher.
    Terdapat ahli keluarga yang juga mempunyai masalah pendengaran.
    Pengambilan ubat ototoksik (anti-histamin, anti-diuretikl)

    Menghidap penyakit sistemik (kencing manis, hiperkolesterol, buah pinggang).

    Perhatikan anak-anak anda. Jika mereka mempunyai salah satu ciri seperti di bawah, bawa mereka menemui doktor untuk pemeriksaan pendengaran.

    Tidak bertindak balas terhadap bunyi.
    Tidak bertindak balas terhadap panggilan nama sendiri.
    Tidak memahami / silap memahami arahan.
    Kelihatan tidak memberikan tumpuan/ sentiasa mengelamun.

    Kelihatan nakal, tidak mempedulikan orang lain / sangat pasif dan menyendiri.

    Lebih banyak menunggu dan melihat apa yang dilakukan oleh orang lain dulu sebelum melakukan sebarang tugas.

    Akan membaca bibir, melihat isyarat visual, ekspresi muka dan gerak tangan daripada mendengar.

    Lewat bertutur.
    Lebih banyak menunjuk dengan jari daripada bercakap.
    Menonjolkan sikap yang ganjil ketika berinteraksi dengan kawan-kawan.

    Menghidap demam kuning yang teruk sehingga memerlukan penggantian darah selepas dilahirkan.

    Telinga sering berair atau bernanah.
    Dilahirkan sangat kecil (berat badan kurang 1.5 kilogram).
    Tidak menangis sebaik saja dilahirkan.

    Ibu mendapat jangkitan seperti rubella, sifilis, herpes, virus cytomegalo atau jangkitan kuman ketika mengandung.

    Ibu terdedah kepada radiasi (X-ray, Magnetic Resonance Imaging (MRI)) ketika mengandung.

    Ibu mengambil ubat ototoksik ketika mengandung (anti-histamin atau anti-diuretik).

    Ibu mengambil dadah atau menghisap rokok ketika mengandung.

    Langkah awal perlulah diambil dalam mengatasi masalah pendengaran terutama di kalangan kanak-kanak. Ia boleh mendatangkan kesan buruk terhadap perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak terbabit. Ini seterusnya akan merencat perkembangan sosial, komunikasi, psikologi dan vokasional individu berkenaan.

    Masalah pendengaran perlu dikesan sejak kecil (umur kurang tiga bulan) agar pemasangan alat bantu dengar yang bersesuaian serta program rawatan seterusnya dapat dilakukan.

    Ini bertujuan mengurangkan kesan masalah pendengaran dihadapi kanak-kanak berkenaan.

    Baca lain-lain artikel - KLIK DISINI


    Share: