Diabetes kian membimbangkan

Angka penghidap diabetes di negara ini semakin meningkat, namun keadaan itu masih belum dapat dibendung, sebaliknya terus meletakkan kumpulan berisiko tinggi di tahap membimbangkan.

Kesedaran yang tinggi serta pendidikan aspek paling utama yang perlu diberi perhatian segera bagi membawa perubahan, seterusnya membantu kita mendapatkan kehidupan lebih sihat dan bermanfaat. 
Bagi pesakit diabetes, hakikat ini tidak dapat disangkal memandangkan statistik penyakit berkenaan menunjukkan peningkatan yang meletakkan rakyat Malaysia dalam risiko kerana kesedaran yang rendah dalam membawa perubahan. Apakah yang perlu dilakukan sebelum semuanya terlambat? 

Menurut pakar endokrin, Dr Chan Siew Pheng, memiliki pengetahuan tidak semestinya akan membuatkan seseorang bangun menjayakan ilmu yang ada, justeru semua pihak harus terus berkongsi pandangan untuk menggalakkan perubahan sikap terutama dalam kalangan penghidap diabetes serta mereka yang berisiko tinggi.

Katanya, pelbagai kajian menunjukkan penyakit tidak berjangkit yang paling banyak dihidapi di seluruh dunia ini semakin meningkat saban tahun dan memberi kesan kepada semakin ramai individu.

“Berdasarkan data, kelaziman diabetes di Malaysia menunjukkan gaya peningkatan yang membimbangkan. Ini kerana pada 2006, 11.6 peratus daripada golongan dewasa di negara ini iaitu berusia 18 tahun ke atas menghidap diabetes. 

“Dalam tempoh lima tahun, angka ini meningkat kepada 15.2 peratus pada 2011, memberi kesan kepada kira-kira 2.6 juta orang atau satu daripada tujuh orang dewasa. Ini ditambah pula dengan keadaan di mana 43 peratus daripada rakyat mengalami obesiti yang membuatkan risiko mereka untuk mendapat diabetes jenis dua semakin meningkat,” katanya. 

Menurutnya, menerusi angka yang mengejutkan itu, ia mewujudkan pertanyaan mengapa senario sebegitu berlaku di negara ini dan adakah rakyat Malaysia mempunyai kesedaran dan pengetahuan mengenai diabetes? 

Kajian Kesedaran Diabetes terbaru yang diadakan di Malaysia oleh Novo Nordisk mendapati purata Indeks Jisim Tubuh (BMI) populasi adalah 24 yang dianggap sebagai berat berlebihan, tinggi berbanding penduduk di negara jiran, Indonesia dan Vietnam, masing-masing memiliki purata BMI 23 dan 22. 

Menurut Dr Chan, malangnya seramai 72 peratus daripada rakyat negara ini menganggap berat badan mereka ideal, malah ada yang menganggap mereka terlalu kurus, menunjukkan majoriti penduduk yang mempunyai risiko tinggi mendapat diabetes turut menolak bahawa berat badan mereka mungkin berlebihan. 

“Kajian berkenaan dijalankan pada 1,012 lelaki dan wanita berusia 18 tahun ke atas di seluruh negara menunjukkan jurang antara pengetahuan dan sikap untuk mengelak penyakit diabetes yang semakin meningkat. 

“Saya sering bertanya pada pesakit saya jika mereka tahu apa itu diabetes. Secara amnya, ramai yang dapat memberikan definisi yang tepat dan mampu mengenal pasti simptom dan faktor risikonya. Mereka tahu berat badan berlebihan dan gaya hidup tidak sihat menyumbang kepada masalah itu,” katanya. 

Malah, menurutnya ramai yang sedar penyakit diabetes boleh dilengahkan atau dielak dengan menjalani gaya hidup sihat termasuk pemakanan seimbang dan bersenam secara konsisten. 

Biarpun begitu, katanya, pengetahuan yang cukup mengenainya tidak bermakna individu itu akan mengamalkan gaya hidup sihat sebaliknya kajian yang dijalankan mendapati, ia jatuh pada keutamaan paling bawah terutama dalam kalangan yang berisiko tinggi. 

Seramai 57 peratus responden yang berada pada risiko tinggi tidak melakukan senaman selama 30 minit setiap hari, manakala 17 peratus langsung tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal membuatkan mereka semakin terdedah kepada penyakit itu. 

“Setiap kali saya menggalakkan mereka bersenam, jawapan yang selalu diberikan ‘tidak ada masa’. Biarpun menurut Skor Risiko Diabetes India (IDRS) seramai 12 peratus rakyat negara ini berisiko, hanya separuh daripada populasi sudah diuji. 

“Ramai juga yang berada dalam kumpulan risiko tinggi tidak pernah melakukan ujian dan kemungkinan hidup dengan diabetes yang tidak dikesan,” katanya. 

Ramai pesakit juga tidak diberitahu mengenai komplikasi yang mungkin berlaku berkaitan diabetes manakala kira-kira 58 peratus bersetuju ia adalah penyakit yang mampu dikawal dan menganggap diabetes tidak serius seperti penyakit lain. 

Anggapan itu sangat merbahaya memandangkan gula dalam darah akan memberikan kesan jangka panjang yang merosakkan kesihatan antaranya kegagalan fungsi buah pinggang, buta, hilang upaya apabila kaki dipotong serta mengalami penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok, malah kematian. 

“Tambahan pula, menguruskan penyakit diabetes menelan kos yang besar dalam jangka panjang dan bukan saja boleh membebankan pesakit, malah sistem penjagaan kesihatan negara apabila semakin ramai perlu mendapatkan rawatan. 

“Di Malaysia, 16 peratus belanjawan kesihatan negara pada 2010 diperuntukkan kepada diabetes, meletakkan ia dalam senarai 10 negara teratas untuk jumlah wang yang dibelanjakan bagi mengawal penyakit itu,” katanya. 

Selain itu, Dr Chan berkata, ramai pesakit diabetes takut mengambil suntikan insulin sebaliknya lebih selesa mengambil tablet, sedangkan suntikan insulin lebih berkesan untuk mengelak atau menangguhkan komplikasi akibat penyakit itu. Apatah lagi dengan teknologi terkini, jarum suntikan yang ada lebih mudah digunakan dan tidak menyebabkan kesakitan. 

Sehubungan itu katanya, pakar perubatan digalakkan memberi pendidikan mengenai pelbagai jenis rawatan tersedia supaya mereka boleh membuat keputusan lebih baik mengenai cara mengurus diabetes dengan lebih berkesan. 

“Setiap individu juga digalakkan melakukan pemeriksaan bagi memastikan keadaan kesihatan mereka sama ada berisiko tinggi atau menghidap diabetes. Mereka perlu bersikap proaktif terutama sekiranya ada ahli keluarga menghidap diabetes, darah tinggi atau kolesterol tinggi,” katanya.

 Rawat dan sihat tanpa ubat

Share:

Kaitan sakit ginjal, jantung

Harapan bagi pesakit ginjal atau buah pinggang ini untuk meneruskan kehidupan. Ini kerana, apabila seseorang itu mengalami kegagalan buah pinggang, pilihan rawatan yang boleh dijalani termasuk haemodialisis, peritoneal dialisis dan pemindahan ginjal.

Bagaimanapun, majoriti kes menyaksikan pesakit memilih untuk menjalani haemodialisis kerana pusat dialisis seumpamanya mudah didapati selain kos rawatannya yang tidak terlalu tinggi.

Sebelum ini, rawatan haemodialisis yang standard adalah empat jam tiga kali seminggu, bagaimanapun keadaan pesakit kini lebih berbeza kerana ada yang turut menghidap penyakit sampingan seperti masalah jantung. 

Malah, bagi pesakit yang menerima rawatan dialisis, kegagalan fungsi buah pinggang turut menjadi penyebab utama penyakit jantung jika dialisis yang diterima tidak mencukupi. Atas kesedaran serta kaitan antara ginjal dan jantung, sambutan Hari Ginjal Sedunia tahun ini bertemakan ‘Lindungi Ginjal, Selamatkan Jantung.’ 

Perlu diingat, kehadiran penyakit jantung itu hanya merumitkan lagi proses rawatan dialisis kerana haemodialisis (HD) konvensional tidak lagi selamat atau sesuai. HD boleh menyebabkan sakit dada, tekanan darah rendah atau serangan jantung sama seperti kesan apabila berlari menaiki tangga. 

Di sinilah, keperluan perlu diubahsuai mengikut kesesuaian dan apakah pilihan dialisis yang ada bagi pesakit jantung disebabkan oleh kekurangan dialisis. 
Ketua Jabatan Nefrologi dan Khidmat Pemindahan Ginjal Pusat Perubatan Prince Court, Datuk Dr Tan Si Yen, berkata HD konvensional sudah mencapai tahap maju dan selamat namun masih tidak sesuai untuk pesakit jantung kerana rawatan ini yang dijalankan ke atas pesakit jantung akan memberi kesan tekanan rendah atau serangan jantung. 

“Atas dasar itu HD konvensional diubahsuai bagi memastikan dialisis yang diterima mencukupi bagi mengurangkan risiko sakit jantung dan mengelakkan tekanan berlebihan pada jantung, ini boleh dilakukan dengan menjadikan rawatan dialisis lebih menyerupai fungsi buah pinggang sebenar,” katanya, ketika ditemui baru-baru ini. 

Hemodiafiltrasi (HDF) adalah alternatif kepada kaedah konvensional dengan penambahan sejenis komponen penapis khusus. Penapis khas yang berfungsi seperti ginjal ini membolehkan rawatan HDF lebih diterima jantung. Biarpun cukup popular di negara maju, kosnya yang tinggi sukar didapati di negara membangun. 

Dengan kos dua kali ganda lebih tinggi berbanding HD konvensional, ia turut memerlukan mesin hemodialisis yang lebih berteknologi tinggi di samping perlu menggunakan bekalan air osmosis berbalik (RO Water) berkualiti tinggi. 

Alternatif lain adalah HD nokturnal (dialisis waktu malam) harian yang mana pesakit akan menjalani dialisis selama lapan jam sepanjang malam selama enam hari. Dengan tempoh dialisis lebih panjang, kadar aliran darah boleh menjadi serendah 150 mililiter seminit dan kadar aliran cecair lebih rendah yang boleh mengurangkan tekanan ke atas jantung. 

Jelas Dr Tan, kestabilan tekanan darah adalah salah satu elemen penting HD nokturnal terutama kepada pesakit yang mengalami masalah jantung. 

“Tempoh dialisis yang lebih lama menjadikannya lebih efektif dan kebanyakan pesakit tidak perlu lagi mengambil ubat antihipertensi, ubat menurunkan kolesterol dan bagi mengawal tahap haemoglobin kerana hanya dos rendah erythropoietin diperlukan. Pesakit juga mendapat manfaat dari segi nutrisi kerana rawatan dialisis ini lebih berkesan. 

“Malah, risiko kemasukan wad akibat jangkitan mahupun komplikasi penyakit jantung juga berkurangan. Aktiviti harian pesakit juga tidak lagi terganggu terutama pesakit yang bekerja mahupun yang masih belajar. Dengan itu kualiti hidup pesakit dapat diperbaiki seiring dengan meningkatnya mutu perawatan klinikal,” katanya. 

Walau bagaimanapun, faktor kekangan utama adalah kos dan kekurangan peralatan berkaitan. Selain kos perubatan ia juga perlu ekonomikal dari segi logistik memandangkan pesakit perlu bermalam di hospital. 

“Justeru, sebagai hospital pertama di Malaysia yang memiliki peralatan ini biarpun jumlah penggunanya masih kecil, kami percaya ia menjadi batu loncatan kepada pelbagai lagi rawatan dialisis yang boleh ditawarkan kepada lebih ramai lagi pesakit warga tempatan.” katanya. 

 Rawat dan sihat tanpa ubat

Share:

Estrogen punca lelaki gemuk

Malang bagi sesetengah lelaki, apabila masuk angka 40 mereka berhadapan dengan pelbagai masalah kesihatan.

Mengapakah pada usia yang sebegitu kita mula didatangi pelbagai gejala penyakit?

Masalah jantung, paru-paru, kolesterol, penyakit hati, kencing manis dan lain-lain lagi mula turut menyerang.

Begitu juga kanser dan masalah prostatik bagi lelaki selain masalah hilang ingatan atau nyanyuk (dimentia) dan penebalan arteri (atherosklerosis). Kualiti kehidupan turut merosot dengan badan mula lemah dan tulang jadi rapuh.

Apabila lemak berkumpul di sana-sini dan perut menjadi buncit ia pasti mengundang rasa kecewa kepada lelaki.

Untuk membakar lemak tubuh memerlukan bahan api. Bagi tubuh manusia bahan api yang dimaksudkan itu ialah hormon yang berfungsi untuk memecahkan lemak. Tubuh juga perlu mengurangkan penyimpanan lemak. Tetapi, ada juga hormon yang bertanggungjawab meningkatkan simpanan lemak dalam badan iaitu estrogen.

Estrogen merupakan hormon yang banyak dihasilkan oleh lemak. Tidak kira lelaki atau wanita. Semuanya mempunyai hormon estrogen dalam badan. Hormon ini bersifat mengumpul lemak sahaja. Ini bermakna lemak yang sedia ada akan memanggil lemak-lemak baru dan akhirnya kuantiti lemak menjadi banyak.

Pengambilan antiestrogen dan makanan tambahan atau suplemen berasaskan hormon penting bagi memastikan lemak dapat dipecahkan.

Setelah mengambil antiestrogen barulah seorang lelaki dapat memecahkan lemak dengan berkesan.

Setiap senaman yang dilakukan akan berhasil dan perut mula menjadi kempis.

Saiz perut

Lelaki yang mengamalkan suplemen antiestrogen juga akan merasakan tenaganya meningkat, stamina bagi aktiviti berat lebih baik.

Begitu juga keperluan seks mereka akan berada pada tahap maksimum disebabkan kestabilan emosi dan tenaga seksual yang bertambah.

Apabila lemak berkurang maka pengeluaran estrogen daripada lemak-lemak itu juga berkurangan.

Pengurangan kuantiti estrogen memberi kesan baik kepada lelaki kerana ia membolehkan hormon lelaki iaitu testosteron berfungsi.

Selain testosteron, DHEA dan juga hormon pertumbuhan atau growth hormone (GH) juga penting kepada lelaki.

Selain itu hormon tiroid (T3 dan T4) juga penting kerana ia melancarkan metabolisme. Tanpanya seseorang akan menjadi gemuk dan sukar kurus meskipun mengamalkan diet yang ketat.

Tetapi kehadiran hormon estrogen yang banyak yang berpunca daripada lemak akan merosakkan hormon testosteron.

Satu lagi fakta yang perlu diketahui ialah makanan berasaskan tumbuhan juga mengandungi banyak hormon estrogen yang boleh menambahkan saiz perut seseorang.

Tidak benar jika seseorang mahu cepat kurus maka dia harus makan sayur-sayuran sahaja. Diet yang berasakan sayuran sahaja belum menjamin seorang itu boleh cepat kurus. Seorang teman yang mengamalkan diet sayur-sayuran mengeluh tidak dapat mengecilkan saiz pinggang setelah sebulan berdiet.

Estrogen yang tinggi dalam sayur-sayuran itu membuatkan saiz badannya tetap gempal.

Setelah diberikan antiestrogen dan dikenal pasti hormon tambahan yang diperlukan barulah dia dapat merubah bentuk badannya sebagaimana yang diinginkan.

Senaman dan gaya hidup sihat perlu diamalkan kerana ia mampu merangsang kelenjar hormon agar bekerja secara optimum. Apabila paras hormon tinggi maka darah menjadi muda semula. Dengan cara ini kesihatan dapat diperolehi dengan menyeluruh dan anda pasti kembali tampan dan kacak semula.

rawatan dan sihat tanpa ubat
Share:

Bahaya minyak masak

MENURUT Pakar Pemakanan dari DEMC Hospital Shah Alam, Siti Nurhayati Ali, penggunaan minyak masak dalam menyediakan hidangan bagi tumisan mahupun gorengan perlu dihadkan dalam masakan seharian apatah lagi sekiranya minyak yang digunakan itu telah dipakai berulang kali.

Katanya, semasa menggoreng, minyak masak melepaskan sisa toksik dipanggil aldehydes yang mencemar udara dan boleh masuk ke dalam sistem pernafasan manusia.

Sisa toksik ini juga tertinggal di dalam minyak ketika menggoreng. Oleh itu, semakin kerap minyak masak digunakan berulang kali, semakin banyak sisa toksik yang terkumpul.

Makanan yang digoreng menggunakan minyak yang diguna semula akan menyerap sisa toksik aldehydes tersebut.

"Apabila seseorang makan makanan itu, ia mengundang masalah-masalah kesihatan yang serius seperti penyakit atherosclerosis (salur darah tersumbat akibat menjadi keras dan tebal), penyakit hati, penyakit jantung, penyakit alzheimer, parkinson dan barah.

"Oleh kerana itu, sebaik-baiknya minyak masak digunapakai maksimum sehingga dua atau tiga kali sahaja.

"Itupun bergantung kepada perubahan struktur atau kelikatan warna minyak berkenaan," kata Siti Nurhayati.

Beliau menambah, sekiranya minyak berkenaan telah bertukar warna dan kelikatannya, kelihatan kehitaman atau perang kehitaman, minyak berkenaan sebenarnya tidak boleh digunakan lagi dan perlu dibuang.

Siti Nurhayati juga menjelaskan minyak sisa menggoreng haiwan yang berdarah seperti ayam, ikan atau daging seelok-eloknya tidak diguna semula dan terus dibuang.

Ini kerana darah haiwan yang bercampur ke dalam minyak berkenaan akan meningkatkan kandungan karbon dan mengubah struktur asid lemaknya yang berbahaya kepada kesihatan.

"Hal ini berbeza bagi minyak hasil daripada gorengan sayur, ikan bilis, tempe, tauhu, kuih-muih dan sebagainya.

"Minyak masak berkenaan masih boleh dipakai untuk kali kedua dan ketiga asalkan tidak bertukar warna serta segala sisa gorengan didalamnya ditapis dan dibuang," katanya.

Siti Nurhayati mengakui, disebabkan mahu mengurangkan kos, kebanyakan peniaga akan menggunakan minyak masak berulangkali.

Sekiranya peniaga perlu juga menggoreng dalam minyak yang sama, gorengan berkenaan perlu dilakukan dengan cepat dan tidak perlu direndam (di dalam minyak) terlalu lama.

"Sebagai pengguna, kita perlu lebih peka dengan makanan yang dibeli dan perlu bersikap memilih terhadap gerai atau kedai makanan. Jika berkesempatan lihat dahulu sama ada minyak yang digunakan adakah telah bertukar kehitaman.

"Ini kerana minyak yang digunakan berulangkali akan bertukar menjadi gelap akibat pembentukan karbon. Minyak ini berbahaya kerana mengandungi bahan toksik HNE atau 4-hydroxy-trans-2 nonel yang tinggi," katanya.

Siti Nurhayati menambah, bukan hanya minyak yang hangus sahaja membahayakan malah makanan yang hangus seperti contoh sate, roti bakar, charkueytiau atau apa sahaja makanan yang bewarna hitam akibat sisa hangus adalah tidak elok kerana mengandungi HNE.

Pengambilan makanan hangus untuk jangka masa panjang boleh mengundang penyakit keradangan dan kanser di dalam badan.

Siti Nurhayati menerangkan, pada asasnya minyak masak terdiri daripada lemak tepu dan lemak tidak tepu. Lemak tidak tepu pula terdiri daripada dua bahagian iaitu lemak mono tidak tepu dan lemak poli tidak tepu.

Minyak kelapa sawit merupakan lemak tepu namun kebaikkannya adalah stabil digunakan untuk masakan yang memerlukan suhu yang tinggi atau masakan minyak penuh (deep fried) seperti menggoreng ayam dan daging.

"Minyak zaitun sebagai contoh adalah minyak mono tidak tepu. Minyak ini baik kerana ia mudah terurai dan akan meningkatkan kolesterol baik dalam badan.

"Contoh-contoh minyak mono lain adalah minyak kacang, minyak badam, minyak avokado dan minyak bunga matahari. Minyak-minyak ini juga mempunyai omega 3 dan 6 yang diperlukan oleh badan.

"Walaubagaimanapun, minyak tidak tepu ini tidak sesuai digunakan untuk masakan yang memerlukan jangka masa yang lama atau terdedah kepada suhu yang terlalu tinggi kerana minyak ini akan cepat hangus," katanya.

Siti Nurhayati menyarankan agar setiap isi rumah mempunyai dua jenis minyak masak iaitu minyak kelapa sawit dan minyak berasaskan lemak poli tidak tepu atau mono tidak tepu.

Gunakan minyak kelapa sawit untuk menggoreng atau deep fry manakala gunakan minyak berasaskan lemak poli tidak tepu atau mono tidak tepu seperti minyak zaitun untuk menumis atau dijadikan sos salad (salad dressing).

Namun apa pun makanan bergoreng perlu dihadkan kepada tiga kali seminggu manakala bagi hari-hari lain pilihlah cara masakan yang lebih sihat seperti sup, kukus, panggang dan gril. Apabila minyak digunakan terlalu banyak ia juga sebenarnya penyumbang kepada masalah kegemukan badan dan kolesterol yang tinggi. – Rosmah Dain

1 gram (gm) minyak = 9 kalori

berbanding 1 gm karbohidrat = 5 kalori

1 sudu makan minyak = 15 gram sebab itu 1 sudu makan minyak = 15 gram x 9 kalori = 135 kalori

Cuba bayangkan sekiranya minyak yang digunakan dalam jumlah yang banyak.

Agaknya berapa ratus atau ribu kalori yang kita serap setiap kali makan makanan yang bergoreng?

rawatan dan sihat tanpa ubat
Share:

Makin ramai sakit gastrik

MAKANAN berlemak, pedas, berasid, berangin, coklat, bawang, kopi dan minuman berkarbonat sememangnya kegemaran Malaysia. Bak kata sesetengah orang, kalau tak pedas tak ‘kick’, malah ada yang berulam cili padi dengan menggigitnya sewaktu dimakan bersama nasi.

Memang enak makan berasaskan makanan seperti itu, apatah lagi ia sememangnya selera Asia. Namun tahukah anda, memakan makanan berkenaan tanpa pemantauan sepatutnya boleh menyebabkan seseorang itu diserang simptom pedih hulu hati atau refluks gastroesofagus (GERD).

Masalah ini menjadikan penyakit ini kerap berlaku di Asia dan makin meningkat disebabkan perubahan diet, obesiti dan tekanan.

Menurut Gastroenterologi Ubat Dalaman, Hospital Universiti Santo Tomas, Dr Denis C Ngo, pakar perubatan kini melihat peningkatan bilangan kes keadaan gangguan gastrousus (GI) teruk dan kronik seperti GERD, ulser peptik dan pedih hulu hati.

Di Filipina, kelaziman esofagitis menghakis (radang esofagus disebabkan GERD) meningkat daripada 2.9 peratus kepada 6.3 peratus dalam tempoh enam tahun.

“Di Malaysia, penyakit ini meningkat dua peratus kepada 8.4 peratus dalam tempoh 10 tahun manakala kajian trend semasa menunjukkan kadar esofagitis di Taiwan meningkat lebih dua kali ganda iaitu lima peratus kepada 12.6 peratus dalam tempoh tujuh tahun.

“Kelaziman gejala ini disebabkan GERD di Asia Timur (China, Jepun, Korea dan Taiwan) meningkat daripada 5.2 peratus pada 2005 kepada 8.5 peratus pada 2010.

“Selain pedih hulu hati, pesakit GERD dan GI mengalami kesukaran menelan (disfagia), kekurangan tenaga, gangguan tidur dan kualiti hidup lebih rendah berbanding keadaan penyakit kronik lain seperti kencing manis, artritis atau kegagalan jantung kongestif,” katanya pada sidang media mengenai gastrousus rantau Asia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kelaziman pesakit GERD lebih tinggi di Asia. Keadaan ini membimbangkan sehingga pesakit bukan hanya memerlukan kelegaan cepat bagi keadaan GI, malah rawatan berkekalan menggunakan perencat pam proton (PPI) dalam jangka panjang.

PPI disahkan sebagai rawatan asas kawalan dan pengurusan GI berkaitan asid kronik. Ia merencatkan enzim (susu protein dalam sel perut yang menghasilkan asid) bagi merembeskan asid.

Profesor Emeritus David A Peura dari Pusat Pengajian Perubatan Universiti Virginia, Amerika Syarikat, pula berkata, peningkatan kelaziman keadaan GI kronik berlaku di Asia diiringi kebimbangan kesan jangka panjang penggunaan PPI.

“Memandangkan ramai pesakit mengambil kedua-dua PPI dan clopidogrel, penting untuk memahami jika interaksi negatif antara kedua-duanya adalah ‘class effect’ dan sama ada wujud pilihan optimum bagi pesakit perlu mengambil kedua-duanya untuk merawat penyakit mereka.

“Kajian menunjukkan tidak semua PPI merencat keberkesanan clopidogrel pada tahap sama. Penemuan ini mempunyai implikasi mendalam berkenaan bagaimana doktor boleh memilih PPI lebih selamat,” katanya.

Hasil data keselamatan yang dikeluarkan doktor dan pesakit mempunyai lebih jaminan bahawa terapi PPI selamat digunakan untuk rawatan jangka masa panjang bagi GERD dan keadaan gastrousus teruk.

Makanan dan minuman yang perlu dielak jika anda menghidap GERD

Arak
Minuman berkafein
Minuman berkarbonat
Coklat
Buah-buahan sitrus
Perasa pudina
Makanan lemak atau bergoreng
Makanan pedas, terutama berperisa bawang putih dan bawang merah
Makanan berasaskan tomato seperti piza atau sos spageti atau cili

Rawatan

Kebanyakan individu boleh mengawal rasa kurang selesa pedih hulu hati dengan mengamalkan cara hidup sihat tanpa ubat-ubatan dan preskripsi doktor. Namun, jika semakin teruk, ubat-ubatan itu mungkin hanya membantu mereka buat sementara waktu. Jika mengalami GERD, anda mungkin memerlukan ubat-ubatan lain bagi menghilangkan gejala

Jika pedih hulu hati semakin teruk, anda boleh menghilangkannya dengan menukar tabiat pemakanan, selain paling utama, berhenti merokok

Simptom GERD

Muntah asid (asid regurgitation)
Terasa keasidan dalam perut
Pedih hulu hati
Sakit dada yang terasa sama dengan sakit dada disebabkan sakit jantung
Ketidakhadaman makanan (dyspepsia)
Terasa pahit atau masam pada mulut
Kerap sendawa
Kesukaran menelan makanan atau tercekik

rawatan dan sihat tanpa ubat
Share:

Sakit tekak tanda awal selesema

Namun, tidak seronoknya apabila tekak mula rasa perit dan gatal selepas kerap mengambil minuman berais. Daripada rasa perit, batuk pula menyusul lalu menyebab­kan rasa tidak selesa selama beberapa hari.

Ya, ia mudah berlaku terutama pada musim panas, tapi pernahkah kita terfikir bahawa sakit tekak yang dialami itu benar-benar sakit tekak biasa atau serangan virus mahupun radang pada tonsil?

Menurut Perunding Pembedahan ENT Pusat Perubatan Prince Court, Datuk Dr Kuljit Singh, sakit tekak sering menjadi petanda awal kepada selesema. 

“Bagaimanapun, sakit tekak daripada selesema itu tidak menggang­gu dalam tempoh lama dan hilang selepas sehari dua. Simptom selesema lain seperti hidung berair dan tersumbat juga boleh menyebabkan tekak sakit.

“Tonsilitis pula adalah jangkitan pada tonsil yang menjejaskan tisu utama terletak di kedua-dua belah bahagian belakang tekak. Ia disebabkan virus atau jangkitan bakteria dikenali streptococcus.

“Doktor akan menge­sat tekak untuk mengambil sampel tisu bagi menentukan punca sakit tekak itu. Sakit tekak virus biasanya di­iringi simptom selesema lain termasuk hidung berair, batuk, mata merah atau berair dan bersin,” katanya.

Tambah Dr Kuljit, tiada penawar atau ubat yang benar-benar berkesan untuk menghilang­kan sakit tekak berpunca daripada selesema virus kecuali mendapat rehat secukup­nya.

“Mengambil makanan sihat dan minum banyak air kosong juga dapat membantu menyembuhkannya. Ubat yang diperoleh dari klinik atau farmasi dapat melegakan selesema dan mengurangkan simptom sakit tekak. Bagaimanapun, faedah yang diberikannya agak minimum. 

“Tapi untuk kelegaan segera, ia boleh diambil de­ngan syarat mengikuti dos yang dibenarkan. Antara ubatan yang biasa diberikan ialah paracetamol untuk melegakan sakit. 

“Lozenge atau gula-gula berubat bagi melegakan kerongkong dan semburan hidung dekongestan untuk melegakan sakit tekak berpunca daripada titisan hingus seperti kahak atau hingus yang menuju ke bahagian belakang tekak kita. 

“Antibiotik tidak akan diberikan apabila mengalami masalah selesema virus atau sakit tekak virus. Antibiotik cuma efektif menentang bakteria, justeru ia tidak memberi kesan kepada sakit tekak biasa, malah boleh memudaratkan jika diambil tanpa keperluan,” ujarnya.

Selain sakit tekak, selesema lazimnya menyebabkan masalah hidung seperti hidung berair dan tersumbat. Apabila mengalami tonsilitis, tonsil akan membengkak dan sesete­ngah kes mempunyai bintik putih atau kuning.

Tanda jangkitan tonsil ini biasanya lebih teruk daripada simptom sakit tekak dengan selesema biasa kerana boleh mengakibatkan hilang selera makan, sakit kepala, nafas berbau, demam, perubahan suara dan kelenjar limfa membengkak di leher.

Jelas Dr Kuljit, apabila wujud simptom seperti ini, segera berjumpa doktor bagi mengelakkan timbulnya masalah lain.

“Jangan ambil ubat sesuka hati atau tanpa saranan doktor. Mungkin sebelum ini anda me­ngambil antibiotik untuk selesema virus, tapi ia tidak sesuai untuk masalah sakit tekak lain.

“Selain itu, pentingkan kebersihan diri terlebih dulu. Basuh tangan de­ngan kerap apabila berada berhampiran individu yang mengalami selesema atau sakit tekak.

“Ada kes sakit tekak virus disebabkan oleh ais yang tercemar, jadi seelok­nya kurangkan pengambilan minuman berais,” katanya.

Beberapa cara perubatan turun-temurun juga boleh dilakukan seperti mengamalkan minum air suam yang dicampur lemon dan madu, tapi Dr Kuljit tidak nampak kesan signifikan dalam melakukannya.

 Rawat dan sihat tanpa ubat
Share: