Diabetes kian membimbangkan

Angka penghidap diabetes di negara ini semakin meningkat, namun keadaan itu masih belum dapat dibendung, sebaliknya terus meletakkan kumpulan berisiko tinggi di tahap membimbangkan.

Kesedaran yang tinggi serta pendidikan aspek paling utama yang perlu diberi perhatian segera bagi membawa perubahan, seterusnya membantu kita mendapatkan kehidupan lebih sihat dan bermanfaat. 
Bagi pesakit diabetes, hakikat ini tidak dapat disangkal memandangkan statistik penyakit berkenaan menunjukkan peningkatan yang meletakkan rakyat Malaysia dalam risiko kerana kesedaran yang rendah dalam membawa perubahan. Apakah yang perlu dilakukan sebelum semuanya terlambat? 

Menurut pakar endokrin, Dr Chan Siew Pheng, memiliki pengetahuan tidak semestinya akan membuatkan seseorang bangun menjayakan ilmu yang ada, justeru semua pihak harus terus berkongsi pandangan untuk menggalakkan perubahan sikap terutama dalam kalangan penghidap diabetes serta mereka yang berisiko tinggi.

Katanya, pelbagai kajian menunjukkan penyakit tidak berjangkit yang paling banyak dihidapi di seluruh dunia ini semakin meningkat saban tahun dan memberi kesan kepada semakin ramai individu.

“Berdasarkan data, kelaziman diabetes di Malaysia menunjukkan gaya peningkatan yang membimbangkan. Ini kerana pada 2006, 11.6 peratus daripada golongan dewasa di negara ini iaitu berusia 18 tahun ke atas menghidap diabetes. 

“Dalam tempoh lima tahun, angka ini meningkat kepada 15.2 peratus pada 2011, memberi kesan kepada kira-kira 2.6 juta orang atau satu daripada tujuh orang dewasa. Ini ditambah pula dengan keadaan di mana 43 peratus daripada rakyat mengalami obesiti yang membuatkan risiko mereka untuk mendapat diabetes jenis dua semakin meningkat,” katanya. 

Menurutnya, menerusi angka yang mengejutkan itu, ia mewujudkan pertanyaan mengapa senario sebegitu berlaku di negara ini dan adakah rakyat Malaysia mempunyai kesedaran dan pengetahuan mengenai diabetes? 

Kajian Kesedaran Diabetes terbaru yang diadakan di Malaysia oleh Novo Nordisk mendapati purata Indeks Jisim Tubuh (BMI) populasi adalah 24 yang dianggap sebagai berat berlebihan, tinggi berbanding penduduk di negara jiran, Indonesia dan Vietnam, masing-masing memiliki purata BMI 23 dan 22. 

Menurut Dr Chan, malangnya seramai 72 peratus daripada rakyat negara ini menganggap berat badan mereka ideal, malah ada yang menganggap mereka terlalu kurus, menunjukkan majoriti penduduk yang mempunyai risiko tinggi mendapat diabetes turut menolak bahawa berat badan mereka mungkin berlebihan. 

“Kajian berkenaan dijalankan pada 1,012 lelaki dan wanita berusia 18 tahun ke atas di seluruh negara menunjukkan jurang antara pengetahuan dan sikap untuk mengelak penyakit diabetes yang semakin meningkat. 

“Saya sering bertanya pada pesakit saya jika mereka tahu apa itu diabetes. Secara amnya, ramai yang dapat memberikan definisi yang tepat dan mampu mengenal pasti simptom dan faktor risikonya. Mereka tahu berat badan berlebihan dan gaya hidup tidak sihat menyumbang kepada masalah itu,” katanya. 

Malah, menurutnya ramai yang sedar penyakit diabetes boleh dilengahkan atau dielak dengan menjalani gaya hidup sihat termasuk pemakanan seimbang dan bersenam secara konsisten. 

Biarpun begitu, katanya, pengetahuan yang cukup mengenainya tidak bermakna individu itu akan mengamalkan gaya hidup sihat sebaliknya kajian yang dijalankan mendapati, ia jatuh pada keutamaan paling bawah terutama dalam kalangan yang berisiko tinggi. 

Seramai 57 peratus responden yang berada pada risiko tinggi tidak melakukan senaman selama 30 minit setiap hari, manakala 17 peratus langsung tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal membuatkan mereka semakin terdedah kepada penyakit itu. 

“Setiap kali saya menggalakkan mereka bersenam, jawapan yang selalu diberikan ‘tidak ada masa’. Biarpun menurut Skor Risiko Diabetes India (IDRS) seramai 12 peratus rakyat negara ini berisiko, hanya separuh daripada populasi sudah diuji. 

“Ramai juga yang berada dalam kumpulan risiko tinggi tidak pernah melakukan ujian dan kemungkinan hidup dengan diabetes yang tidak dikesan,” katanya. 

Ramai pesakit juga tidak diberitahu mengenai komplikasi yang mungkin berlaku berkaitan diabetes manakala kira-kira 58 peratus bersetuju ia adalah penyakit yang mampu dikawal dan menganggap diabetes tidak serius seperti penyakit lain. 

Anggapan itu sangat merbahaya memandangkan gula dalam darah akan memberikan kesan jangka panjang yang merosakkan kesihatan antaranya kegagalan fungsi buah pinggang, buta, hilang upaya apabila kaki dipotong serta mengalami penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok, malah kematian. 

“Tambahan pula, menguruskan penyakit diabetes menelan kos yang besar dalam jangka panjang dan bukan saja boleh membebankan pesakit, malah sistem penjagaan kesihatan negara apabila semakin ramai perlu mendapatkan rawatan. 

“Di Malaysia, 16 peratus belanjawan kesihatan negara pada 2010 diperuntukkan kepada diabetes, meletakkan ia dalam senarai 10 negara teratas untuk jumlah wang yang dibelanjakan bagi mengawal penyakit itu,” katanya. 

Selain itu, Dr Chan berkata, ramai pesakit diabetes takut mengambil suntikan insulin sebaliknya lebih selesa mengambil tablet, sedangkan suntikan insulin lebih berkesan untuk mengelak atau menangguhkan komplikasi akibat penyakit itu. Apatah lagi dengan teknologi terkini, jarum suntikan yang ada lebih mudah digunakan dan tidak menyebabkan kesakitan. 

Sehubungan itu katanya, pakar perubatan digalakkan memberi pendidikan mengenai pelbagai jenis rawatan tersedia supaya mereka boleh membuat keputusan lebih baik mengenai cara mengurus diabetes dengan lebih berkesan. 

“Setiap individu juga digalakkan melakukan pemeriksaan bagi memastikan keadaan kesihatan mereka sama ada berisiko tinggi atau menghidap diabetes. Mereka perlu bersikap proaktif terutama sekiranya ada ahli keluarga menghidap diabetes, darah tinggi atau kolesterol tinggi,” katanya.

 Rawat dan sihat tanpa ubat

Share:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan