Kurangkan melancong

SESEORANG itu bebas bergerak dan melakukan pelbagai aktiviti dalam kehidupan seharian, namun apabila disahkan hamil, ramai tertanya-tanya adakah mereka masih boleh melakukan aktiviti yang biasa dilakukan atau sebaliknya.

Persoalan paling biasa diajukan ialah, bolehkah wanita hamil melancong atau melakukan perjalanan jauh? Adakah ia boleh menjejaskan kandungan atau kesihatan ibu? Makan angin atau melakukan perjalanan jauh bukan punca keguguran kerana ia bergantung kepada tahap kesihatan wanita hamil.

Ketika hamil, mereka mungkin mendapat alahan seperti muntah-muntah di awal kehamilan dan ini mungkin menyebabkan ketidakselesaan melakukan perjalanan jauh.

Apabila hamil, wanita juga mudah letih dan jika melakukan perjalanan jauh, tentu akan lebih memenatkan tubuh mereka.

Perunding Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pantai Cheras, Dr Suriati Akmal Mahari berkata, ibu mengandung yang mengalami pendarahan dinasihatkan supaya tidak melakukan perjalanan jauh dan adalah lebih baik ibu berehat sehingga masalah itu selesai.

Pendarahan ialah tanda awal janin hendak gugur tetapi jika degupan jantungnya berkeadaan baik, bayi berkenaan sihat.

Menurutnya, segelintir wanita hamil mengambil keputusan menghentikan semua aktiviti yang biasa dilakukan mereka kerana bimbang tindakan itu boleh menyebabkan pendarahan dialami bertukar kepada keguguran.

Bagaimanapun, katanya, sebaik-baiknya ibu hamil meneruskan aktiviti harian yang biasa dilakukan mereka , misalnya melakukan kerja rumah, kerana perbuatan itu tidak boleh menyebabkan keguguran.

Beliau berkata, jika wanita itu pernah mempunyai kes kelahiran bayi tidak cukup bulan, risiko untuknya berdepan masalah sama agak tinggi dan jika menaiki kapal terbang, bimbang kejadian itu berlaku dalam pesawat.

Jika kelahiran bayi berlaku di dalam pesawat, keadaan menjadi sulit kerana tiada doktor. Ini berlainan dengan menaiki kenderaan darat kerana jika berlaku kecemasan, mereka lebih mudah pergi hospital.

“Ramai orang salah anggap wanita hamil tidak boleh naik kapal terbang. Wanita yang hamil 32 atau 34 minggu tidak dibenarkan menaiki pesawat bukan disebabkan dikhuatiri memberi kesan mudarat kepada bayi, tetapi disebabkan syarikat penerbangan tidak mempunyai persiapan untuk menyambut kelahiran bayi jika wanita itu tiba-tiba hendak bersalin,” katanya.

Dr Suriati Akmal berkata, pastikan juga wanita terbabit tidak mengalami pendarahan sewaktu hamil kerana kedudukan uri di bawah tidak membolehkan perjalanan jauh atau melancong.

“Keadaan itu biasanya berlaku selepas usia kandungan 28 minggu dan jika terjadi pendarahan, wanita berkenaan biasanya dimasukkan ke wad atau dinasihatkan berehat di rumah. Jadi tidak sepatutnya dia menaiki penerbangan dalam keadaan kesihatan kurang stabil,” katanya.

Wanita hamil yang menghidap asma diingatkan supaya sentiasa membawa ubat sebagai persediaan menghadapi kemungkinan diserang penyakit itu.

Mereka yang ingin melakukan perjalanan jauh juga dinasihatkan membawa bersama rekod pemeriksaan kehamilan, terutama bagi kandungan yang ada masalah, misalnya bayi tidak membesar dengan baik.

Katanya, kes kelahiran tidak cukup bulan berlaku pada bila-bila waktu sepanjang kehamilan.

Jika usia kandungan 16 minggu, ia dipanggil keguguran, pada usia 24 minggu, biasanya bayi tidak boleh hidup dan kandungan lahir normal selepas berusia 37 minggu ke atas.

“Seseorang itu perlu meneliti sama ada dia mempunyai risiko bersalin awal atau sebaliknya berdasarkan sejarah kelahiran anaknya yang terdahulu.

“Jika terpaksa berada lama dalam penerbangan, wanita hamil dinasihatkan menggerak-gerakkan kakinya kerana duduk terlalu lama meningkatkan risiko berlaku darah beku.

“Darah beku dari saluran darah di kaki yang bergerak ke dalam aliran darah ke paru-paru boleh menyebabkan ibu hamil mengalami masalah kekurangan bekalan oksigen.

“Ini menyebabkan ibu hamil tidak dapat bernafas dengan baik, sekali gus mendedahkan risiko mendapat pulmonary embolism (PE).

“PE yang serius boleh menyebabkan kerosakan sebahagian paru-paru kerana kekurangan aliran darah kepada tisu paru-paru. Kes itu biasanya dirujuk ke unit rawatan rapi,” katanya.

Bagi mereka yang terdedah kepada risiko darah beku, langkah pencegahan perlu diambil dengan mengelakkan perjalanan dalam tempoh lama.

Baca lain-lain artikel - KLIK DISINI

Share:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan