Tubuh celaru

AWALNYA, Wei Ling (bukan nama sebenar), 26, tidak menganggap kesukaran dan gangguan tidur dialaminya satu masalah kerana beranggapan keadaan itu normal bagi kebanyakan orang yang melakukan kerja tambahan.

Menceritakan rutin kehidupannya, dia pada mulanya bertugas di sebuah syarikat mengikut waktu pejabat jam 9 pagi hingga 5 petang, namun apabila mendapat tawaran melakukan kerja sampingan pada malam hari dalam industri hiburan yang cukup mencabar dan menarik, dia mengambil peluang itu.

Jadual kerjanya dari awal pagi sehingga lewat malam itu menyebabkan Wei Ling mula mengalami tabiat tidur tidak normal sehingga mula menjejaskan tumpuan dan aktiviti seharian.

Bagaimanapun, dia tidak menghiraukan keadaan itu dan meneruskan rutin harian sehingga menyedari keadaan tubuh, perlakuan dan mindanya semakin terjejas.

Dia bukan saja tidak mampu fokus dalam setiap kerja dilakukan, tiada selera makan, kurang minat bersosial bersama rakan dan sentiasa rasa diri kurang bersedia, tetapi juga kegembiraannya mula bertukar menjadi kemurungan.
Menyedari dirinya berdepan masalah kesihatan yang semakin kritikal, Wei Ling sedar dia perlu mendapatkan bantuan doktor.

Pada awalnya, dia berjumpa dengan doktor biasa yang memberinya ubat-ubatan untuk membantu mengatasi masalah dialami terutama memberinya tidur lebih lena, namun ia tidak menunjukkan kesan terbaik.

Kemudian, dia sekali lagi bertemu doktor biasa yang merujuk kesnya kepada seorang pakar psikiatrik dan dia dikesan mengalami simptom masalah kemurungan.

Selepas menjalankan beberapa ujian, pakar psikiatrik berkenaan mengesahkan Wei Ling berdepan masalah kemurungan tahap awal dan beliau terus merawatnya melalui kaedah kaunseling dan perubatan.

Beliau turut menyarankan supaya berhenti bekerja tambahan di waktu malam kerana segelintir orang sepertinya tidak sesuai melakukannya banyak kerja kerana kitaran ritma sirkadian tubuh mereka sukar menerima corak perubahan itu.

Akur dengan nasihat doktor, selepas tiga hingga empat bulan, masalah kemurungan dialami Wei Ling akhirnya pulih dan dia mampu menjalani kehidupan normal dan gembira bersama keluarga, rakan dan orang sekeliling.

Kes 2

RAHMAN Abdul Rahim (bukan nama sebenar), 51, adalah seorang jurutera berjaya di sebuah syarikat ternama yang menjalani kehidupan cukup gembira dan bahagia bersama isteri serta dua orang anak perempuan.

Keperluan tugasnya yang cukup sibuk ditambah sikapnya yang sangat kuat menjadikan dia adalah orang pertama sampai ke pejabat dan terakhir pulang ke rumah. Keadaan itu baginya adalah suatu kebiasaan asalkan kerjanya dapat diselesaikan mengikut waktu ditetapkan serta mencapai sasaran tugas dikehendaki.

Sikap komited terhadap tugas dan kedudukannya sebagai jurutera kanan membuatkan dia dipilih mengetuai pasukan kakitangan untuk menyediakan kertas kerja berhubung satu projek mega.

Ekoran sikapnya yang meletakkan jangkaan tinggi dalam sesuatu tugasan untuk mendapatkan hasil terbaik, dia mendesak ahli pasukan supaya bekerja keras namun tetap tidak berpuas hati dengan kerja dilakukan mereka walaupun ia beberapa kali diperbaiki.

Dia menganggap dirinya seorang ketua tidak berguna, tidak mampu menghasilkan kertas kerja terbaik, merasa teruk, resah dan cepat letih.

Keadaan itu menjadikan Rahman kurang keyakinan untuk ke pejabat dan berdepan bos serta rakan-rakan kerja yang sering menganggapnya tidak mampu mengetuai pasukan.

Ia juga menyebabkan dia mengalami kebimbangan, masalah tidur, hilang selera makan, tidak mempunyai harapan, sering memohon cuti kerja dan mengambil cuti sakit.

Lebih teruk, ketika di rumah, dia lebih banyak menghabiskan masa terperap di dalam bilik, pura-pura tidur dan hanya keluar bilik apabila isteri serta anak-anaknya tiada di rumah.

Atas desakan berterusan daripada isterinya supaya bertemu pakar psikiatrik, dia akhirnya bersetuju dan bertekad untuk mengatasi masalah itu.

Hasil pengalaman dan ujian tahap kesihatan yang dijalankan pakar psikiatrik, beliau mengesahkan Rahman mengalami masalah kemurungan serius sebelum dia dirawat melalui penggunaan ubat-ubatan, bagi membaikpulih saraf berhubung gangguan Ritma Sirkadian.

Dalam tempoh sembilan bulan, Rahman diberi terapi yang mampu membantunya mengatasi masalah itu dan memberinya kehidupan gembira, bahagia dan normal seperti sebelum ini.


DUA kes di atas adalah senario yang membelenggu kehidupan dan diri penghidap kemurungan. Takrif kemurungan itu adalah satu bentuk gangguan perasaan atau emosi yang dialami seseorang sama ada di dalam jangka masa pendek atau jangka masa panjang sehingga bertahun-tahun lamanya.

Namun, hakikatnya, penghidap di atas dan juga mungkin ada lebih ramai lagi yang tidak menyedarinya, masalah mereka bukan berkisar kepada aspek emosi semata-mata sebaliknya lebih daripada itu. Ini kerana mereka turut mengalami satu atau lebih simptom gangguan ‘circadian rhythm’ atau ritma sirkadian seperti rasa sedih dan kosong, hilang minat terhadap aktiviti kegemaran, cepat letih, kurang bertenaga, mudah berputus asa serta menganggap diri tidak berguna.

Mereka juga mungkin mengalami gangguan tidur, hilang selera makan, penurunan berat badan, mudah marah, berasa tidak tenteram, menganggap mati lebih baik daripada hidup, kurang fokus, sukar membuat keputusan dan simptom fizikal seperti sakit kepala, sakit badan serta masalah penghadaman.

Kajian kesihatan beberapa tahun lalu, mendapati masalah kemurungan dialami kira-kira 121 juta manusia di seluruh dunia dan dijangka meningkat berikutan persaingan ekonomi.

Lebih membimbangkan, kajian kesihatan mental direkodkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan, masalah keempat paling ramai dihidapi penduduk dunia itu turut dialami kanak-kanak.

Andai masalah kemurungan ini tidak dirawat segera dan sewajarnya, ia boleh mengakibatkan perubahan negatif kepada penghidapnya dari segi kelakuan serta pemikiran sehingga menyumbang kepada kematian akibat bunuh diri.

Bagaimanapun di Malaysia, kegagalan seseorang mengenali simptom kemurungan akibat kurang kesedaran dan pengetahuan mengenai masalah itu, menyebabkan ramai tidak dirawat sedari awal.

Pakar psikiatris dan Bekas Presiden Persekutuan ASEAN berkaitan Psikiatrik dan Kesihatan Mental (AFPMH), Profesor Dr Mohamad Hussain Habil, berkata sebanyak 82 peratus daripada penghidap masalah kemurungan yang tampil menjalani rawatan daripada doktor biasa, pada awalnya tidak mengetahui mereka mengalami gejala masalah kemurungan.

“Sebanyak 18 peratus penghidap hanya diberi ubat bagi menangani simptom yang dialami kerana doktor biasa tidak mempunyai kepakaran mengenalpasti atau merawat secara tepat masalah psikiatrik dan kesihatan mental.

“Sebenarnya punca utama masalah kemurungan adalah gangguan dikenali Ritma Sirkadian iaitu kecelaruan kitaran dalaman tubuh seseorang yang berfungsi mengawal proses biologikal seperti aktiviti gelombang otak, penghasilan hormon dan penjanaan semula sel.

“Gangguan Ritma Sirkadian yang dialami ini mampu mengubah kitaran aktiviti individu sama ada ketika berjaga atau tidur, pembebasan hormon, suhu badan dan fungsi penting tubuh.

“Akibat perubahan ini yang biasanya disebabkan banyak faktor seperti tekanan persekitaran, keturunan, personaliti pesimis iaitu tahap keyakinan rendah dan penyakit, seseorang mula berubah menjadi murung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bengkel Media Malaysia Servier bertemakan ‘Penetapan Semula Ritma Sirkadian Memberikan Dimensi Baru Kepada Masalah Kemurungan’ anjuran syarikat farmaseutikal Servier Malaysia Sdn Bhd, sempena Bulan Kesihatan Mental.

Selain Mohamad Hussain, bengkel itu disertai dua ahli panel iaitu Perunding Psikiatrik, Jabatan Psikiatrik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Azhar Md Zain dan Perunding Psikiatrik Swasta, Dr Ting Joe Hang.

Mengulas lanjut, Mohamad Hussain berkata, penting bagi individu memahami secara mendalam kaitan gangguan Ritma Sirkadian dan masalah kemurungan supaya ia mampu dikesan dan dirawat segera.

“Andai anda mengalami simptom kemurungan, segeralah berjumpa dengan pakar psikiatrik bagi memastikan anda mampu dirawat secara berkesan dan kembali menjalani kehidupan normal.

“Jangan dapatkan rawatan dari pakar perubatan biasa kerana hanya pakar psikiatrik mampu memahami dan menyelesaikan masalah anda mengikut jenis rawatan paling sesuai.

“Antara rawatan diberikan selain perbincangan pakar dan penghidap adalah ubat-ubatan anti kemurungan yang menumpukan gangguan pemancar saraf (neurotransmitter) dan penggunaan agomelatine yang memfokuskan saraf penerima melatonergic di dalam otak,” katanya.

Namun, katanya, pada masa sama, orang ramai perlu membuang stigma bahawa individu yang bertemu pakar psikiatrik adalah gila kerana kemurungan bukan penyakit mental.

“Stigma itu hanya membantutkan niat seseorang bertemu pakar psikiatrik dan menyebabkan rawatan sukar diberi selain menambah trauma pengidap,” katanya.

Kemurungan, jelasnya, bukan masalah ringan dan memerlukan perhatian serta rawatan sewajarnya bagi memastikan penghidap tidak mengalami masalah kesihatan mental yang lebih serius.

INFO: Simptom kemurungan
Perasaan sedih dan kosong
Hilang minat terhadap aktiviti kegemaran
Cepat letih
Menganggap diri tidak berguna
Kurang bertenaga
Mudah berputus asa
Hilang selera makan
Mengalami gangguan tidur
Penurunan berat badan
Kerap marah
Perasaan tidak tenteram
Menganggap mati lebih baik daripada hidup
Kurang fokus
Sukar membuat keputusan

Kaitan gangguan Ritma Sirkadian dan masalah kemurungan

Perubahan Mood Harian
Kemurungan di waktu pagi dan keadaan mood yang tidak normal

Corak Aktiviti Siang Hari
Kurang bertenaga, tumpuan rendah, waktu makan tidak teratur

Pengurusan Malam Hari
Sukar tidur, gangguan ketika tidur kerana kerap terjaga serta bangun awal

Konsentrasi Terjejas
Keletihan pada siang hari dan mengantuk.

Baca lain-lain artikel - KLIK DISINI

 

Share:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan