Kesan masalah pendengaran anak

MASALAH pendengaran bukanlah suatu masalah yang jarang-jarang berlaku di dalam masyarakat kita. Malah dalam dunia ini, masalah pendengaran dihadapi oleh setiap peringkat umur, sama ada peringkat bayi, remaja, dewasa mahupun warga tua. Untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai masalah pendengaran yang anda hadapi, penting untuk mengenali telinga anda terlebih dulu.

Struktur telinga

Secara fizikal, telinga boleh dibahagikan kepada tiga iaitu telinga luar, telinga tengah dan telinga dalam. Telinga luar terdiri daripada cuping telinga dan salur telinga anda. Manakala telinga tengah merangkumi gegendang telinga, tulang osikel (incus, stapes dan maleus), ruang telinga tengah serta tiub Eustachian (yang menyambungkan bahagian telinga tengah ke tekak).

Telinga dalam pula terdiri daripada koklea, salur separuh bulat dan saraf auditori iaitu saraf pendengaran yang menghantar maklumat pendengaran dari koklea ke otak untuk ditafsirkan. Di otak pula, terdapat pusat pendengaran yang akan memproses maklumat yang sampai dan maklumat ini akan ditafsirkan sebagai pendengaran. Disebabkan hal inilah, kita dapat menikmati sensasi pendengaran.

Untuk mendengar, kesemua bahagian telinga yang itu haruslah boleh berfungsi secara normal tanpa sebarang jangkitan atau abnormaliti. Sebarang gangguan di mana-mana bahagian akan menyebabkan individu berkenaan menghadapi masalah pendengaran dan kesan masalah ini bergantung kepada tahap keterukan masing-masing.

Jenis masalah Pendengaran

Penting untuk anda mengetahui jenis masalah pendengaran yang dihadapi kerana ia akan membantu anda dan menyelesaikan masalah itu. Terdapat masalah pendengaran yang boleh dirawat dan tidak boleh dirawat. Jika menghadapi masalah pendengaran yang tidak boleh dirawat, pemakaian alat bantu dengar adalah perlu.

Terdapat tiga jenis masalah pendengaran iaitu masalah konduktif, sensorineural dan campuran. Masalah pendengaran konduktif berlaku apabila terdapat masalah atau jangkitan pada telinga luar dan telinga tengah.

Contoh masalah dan jangkitan yang boleh menyebabkan masalah pendengaran konduktif ialah ketiadaan lubang telinga (atresia), cuping telinga kecil atau tiada cuping telinga (mikrotia / anotia), sumbatan tahi telinga di salur telinga, jangkitan kuman pada salur telinga atau telinga tengah dan gegendang telinga bocor/pecah.

Masalah pendengaran sensorineural pula berlaku apabila terdapat masalah atau jangkitan pada telinga dalam, tempat di mana koklea dan saraf pendengaran berada. Masalah ini tidak dapat dilihat secara fizikal (tiada rembesan nanah atau kecacatan fizikal) tetapi hanya dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan pendengaran secara menyeluruh.

Masalah ini tidak dapat dirawat, tidak seperti masalah pendengaran konduktif yang boleh dirawat secara pengambilan ubat atau pembedahan.

Masalah pendengaran campuran pula berlaku apabila terdapat kehadiran kedua-dua masalah pendengaran serentak iaitu masalah pendengaran konduktif dan sensorineural hadir bersama. Contohnya, seseorang yang mempunyai masalah pendengaran sensorineural juga mempunyai mampatan tahi telinga dikategori sebagai mempunyai masalah pendengaran campuran. Apa juga masalah yang berlaku di telinga luar/tengah serta masalah di telinga dalam, ia disebut sebagai masalah pendengaran campuran.

Berhati-hati jika anda mengalami tanda-tanda berikut. Segera berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan pendengaran anda.

Meminta percakapan diulang berkali-kali.
Bercakap dengan nada suara yang lebih kuat daripada biasa.
Tidak memahami arahan yang diberikan atau silap memahami arahan.
Sukar memahami perbualan di tempat bising.

Terpaksa memalingkan kepala ke arah sumber bunyi dalam usaha untuk memahami apa yang didengari.

Sukar memahami perbualan telefon.
Toleransi terhadap bunyi bising berkurang.
Suka memencilkan diri daripada bergaul dan berbual.
Terdedah kepada bunyi yang sangat kuat.
Terbabit kemalangan dengan kecederaan di bahagian kepala dan leher.
Terdapat ahli keluarga yang juga mempunyai masalah pendengaran.
Pengambilan ubat ototoksik (anti-histamin, anti-diuretikl)

Menghidap penyakit sistemik (kencing manis, hiperkolesterol, buah pinggang).

Perhatikan anak-anak anda. Jika mereka mempunyai salah satu ciri seperti di bawah, bawa mereka menemui doktor untuk pemeriksaan pendengaran.

Tidak bertindak balas terhadap bunyi.
Tidak bertindak balas terhadap panggilan nama sendiri.
Tidak memahami / silap memahami arahan.
Kelihatan tidak memberikan tumpuan/ sentiasa mengelamun.

Kelihatan nakal, tidak mempedulikan orang lain / sangat pasif dan menyendiri.

Lebih banyak menunggu dan melihat apa yang dilakukan oleh orang lain dulu sebelum melakukan sebarang tugas.

Akan membaca bibir, melihat isyarat visual, ekspresi muka dan gerak tangan daripada mendengar.

Lewat bertutur.
Lebih banyak menunjuk dengan jari daripada bercakap.
Menonjolkan sikap yang ganjil ketika berinteraksi dengan kawan-kawan.

Menghidap demam kuning yang teruk sehingga memerlukan penggantian darah selepas dilahirkan.

Telinga sering berair atau bernanah.
Dilahirkan sangat kecil (berat badan kurang 1.5 kilogram).
Tidak menangis sebaik saja dilahirkan.

Ibu mendapat jangkitan seperti rubella, sifilis, herpes, virus cytomegalo atau jangkitan kuman ketika mengandung.

Ibu terdedah kepada radiasi (X-ray, Magnetic Resonance Imaging (MRI)) ketika mengandung.

Ibu mengambil ubat ototoksik ketika mengandung (anti-histamin atau anti-diuretik).

Ibu mengambil dadah atau menghisap rokok ketika mengandung.

Langkah awal perlulah diambil dalam mengatasi masalah pendengaran terutama di kalangan kanak-kanak. Ia boleh mendatangkan kesan buruk terhadap perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak terbabit. Ini seterusnya akan merencat perkembangan sosial, komunikasi, psikologi dan vokasional individu berkenaan.

Masalah pendengaran perlu dikesan sejak kecil (umur kurang tiga bulan) agar pemasangan alat bantu dengar yang bersesuaian serta program rawatan seterusnya dapat dilakukan.

Ini bertujuan mengurangkan kesan masalah pendengaran dihadapi kanak-kanak berkenaan.

Baca lain-lain artikel - KLIK DISINI


Share:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan