Pendarahan : Rawat awal

KITA mudah panik apabila mengalami pendarahan ketika muntah mahupun buang air besar. Pelbagai andaian dibuat, misalnya kemungkinan menghidap penyakit kronik atau misteri.

Sama ada darah itu keluar daripada mulut atau dubur, pendarahan berkenaan yang juga dikenali sebagai pendarahan gastrousus (GI) atau saluran pencernaan tidak seharusnya dipandang ringan dan perlu dirujuk ke doktor pakar.

Ia boleh dibahagikan dua bahagian iaitu pendarahan di bahagian atas saluran pencernaan meliputi mulut, esofagus, perut dan bahagian awal usus kecil, manakala pendarahan di saluran pencernaan bahagian bawah meliputi usus kecil ke usus besar hingga ke rektum dan dubur.

Walaupun pendarahan saluran pencernaan di bahagian bawah adalah lebih rendah (20 hingga 30 peratus) secara statistik, ia dianggarkan lebih tinggi kerana kebanyakan pesakit tidak berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.

Pakar perunding pembedahan Hospital Pantai Klang, Dr Shalizan Torman berkata, pendarahan boleh berlaku di mana-mana bahagian GI.

Biasanya pesakit datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan mengenal pasti punca sebenar apabila berlaku pendarahan.

Tahap serius pendarahan itu bergantung kepada berapa banyak atau jumlah pendarahan, lokasi pendarahan dan penyebab pendarahan.

Penyebab pendarahan GI berbeza mengikut peringkat umur pesakit. Kanak-kanak jarang berdepan risiko ketumbuhan atau kanser, manakala pesakit dewasa berdepan risiko ketumbuhan atau kanser.

Golongan dewasa berumur 40 tahun ke atas tergolong dalam golongan berisiko tinggi jika mengalami pendarahan usus.

PENYEBAB

Pendarahan saluran pencernaan di bahagian atas:

Ulser perut — boleh menyebabkan pendarahan jika ulser menyebabkan saluran darah terdedah dan terluka. Lebih 50 peratus pendarahan saluran pencernaan atas adalah disebabkan oleh ulser.

Gastrik — radang pada membran mukus yang melapik perut.

Saluran darah pada esofagus yang membengkak (‘oesophageal varices’).

Mallory-weis tears — luka pada hujung esofagus yang disebabkan oleh muntah yang teruk.

Kanser pada dinding gaster (perut).


Pendarahan saluran pencernaan di bahagian bawah:

Kebanyakan pendarahan adalah dari bahagian usus besar dan rektum berbanding usus kecil.

Anal fissure iaitu luka kerekahan pada bahagian dubur, biasanya disebabkan najis besar dan keras. Apabila najis keras dan besar keluar, ia boleh menyebabkan bahagian dubur koyak dan berdarah.

Buasir iaitu pembengkakan di saluran darah pada hujung dubur.

Diverticular disease — ada keganjilan pada dinding usus besar yang boleh menyebabkan pendarahan.

Angiodisplasia — keabnormalan pada saluran darah di dinding usus dan masalah ini berlaku terutama di kalangan warga emas.

Keradangan usus.

Jangkitan usus.

Kanser usus besar — semua kanser saluran pencernaan boleh menyebabkan pendarahan.

Polip atau ketumbuhan bukan kanser dalam saluran gastrousus juga mungkin penyebab pendarahan. Sesetengah polip boleh bertukar menjadi kanser.

Warna darah yang keluar juga dapat memberikan gambaran kasar punca penyakit dan lokasi pendarahan. Darah berwarna merah cerah bermakna punca pendarahan berdekatan kawasan dubur dan bahagian bawah saluran pencernaan seperti buasir, ‘anal fissure’ dan kanser pada bahagian bawah usus besar.

Jika warna darah merah gelap, bermakna pendarahan berlaku pada bahagian usus yang lebih dalam. Pada umumnya ia mungkin disebabkan penyakit lebih berbahaya seperti kanser usus.

Warna najis yang hitam dan melekit seperti tar atau ‘melena’ dan berbau sangat busuk.

Darah boleh bertukar daripada kebiasaan berwarna merah kepada hitam akibat proses tindak balas kimia oleh enzim penghadaman dan pencernaan yang berlaku kepada sel darah merah.

Ia menandakan ada pendarahan pada bahagian lebih atas saluran pencernaan seperti esofagus, perut atau duodenum (usus kecil).

Penyakit yang biasa dikaitkan dengan najis berupa seperti tar ini ialah pendarahan daripada ulser perut dan gastrik.

Pendarahan saluran pencernaan ini boleh menyebabkan seseorang pesakit berasa lesu, pening, pitam dan kelihatan pucat, khususnya bagi mereka yang mengalami pendarahan yang banyak sekali.

Semua tanda terbabit berkaitan dengan kekurangan sel darah merah dalam tubuh pesakit atau juga dipanggil anemia.

UJIAN YANG BIASA DILAKUKAN

Ujian rektum digital yang memerlukan doktor melihat dan memasukkan jari ke dalam dubur pesakit. Ujian ini hanya mengambil masa satu atau dua minit dan tidak menyakitkan.

Biasanya melalui pemeriksaan ini, doktor boleh memeriksa keadaan dinding usus dan dapat mengesan buasir, kanser atau lain-lain ketumbuhan berdekatan dubur.


Pemeriksaan endoskopi – kaedah ini digunakan doktor pakar dengan memasukkan tiub berkamera (yang dapat memancarkan imej kepada mata pemeriksa) yang fleksibel ke dalam saluran pencernaan sama ada melalui mulut atau dubur.
Kaedah ini digunakan untuk mengetahui punca penyakit dan merawat penyakit.

Ketika melakukan pemeriksaan, doktor dapat mengetahui punca pendarahan dan melalui kaedah ini juga doktor pakar boleh menghentikan punca pendarahan.


Angiogram — memasukkan cecair khusus ke dalam saluran darah dan melihat di mana lokasi pendarahan itu berlaku. Ia juga boleh digunakan sebagai rawatan pada pesakit angiodysplasia dan ulser.

Kaedah ini digunakan jika pemeriksaan endoskopi atau kolonoskopi tidak dapat mengesan punca pendarahan atau tidak dapat menghentikan pendarahan.

Dr Shalizan berkata, rawatan bergantung kepada punca pendarahan terbabit dan antara kaedah rawatan termasuk ubat-ubatan, rawatan melalui endoskopi dan ada juga yang memerlukan pembedahan apabila pendarahan terlalu serius atau banyak.

“Pada umumnya, penyakit seperti gastrik, ulser dan keradangan usus boleh dirawat dengan pengambilan ubat saja. Namun, bagi penyakit seperti kanser usus, pembedahan a dalah jalan terbaik.

“Buasir pula boleh dirawat secara ubat-ubatan di peringkat awal dan mungkin memerlukan pembedahan jika penyakit menjadi lebih serius,” katanya.

Walaupun ramai menganggap agak memalukan untuk berjumpa doktor, ia tidak boleh dipandang ringan dan perlu diberikan perhatian segera bagi mengesan punca sebenar pendarahan terbabit.

Ramai menganggap ia bukan perkara yang membimbangkan kerana kebanyakan pendarahan berhenti tanpa mendapatkan rawatan.

“Ada juga pesakit enggan diperiksa dan hanya ingin mendapatkan ubat bagi masalah ini. Pandangan ini harus diubah kerana tanpa pemeriksaan selanjutnya, masalah sebenar tidak dapat diketahui dan rawatan tidak dapat diberikan secara optimum.

“Pengesanan awal, terutama penyakit ketumbuhan pada salur pencernaan, dapat dirawat lebih awal dan rawatan awal dapat menjanjikan keputusan lebih baik,” katanya.

Baca lain-lain artikel - KLIK DISINI

Share:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan